Ehati International Sdn Bhd (eHati) menafikan dakwaan bahawa program yang dijalankan oleh syarikat itu membawa anasir menyimpang serta pengaruh budaya songsang dalam masyarakat.
Pasangan suami isteri dan juga pengasas eHati, Diyana Tahir and Rahim Shukor juga mendakwa pengguna Facebook, Masyitah Ashari mengandungi “dakwaan yang tidak tepat dan boleh menimbulkan fitnah terhadap mereka”.
Mereka berkata setiap program eHati dibangunkan secara teliti agar mematuhi standard etika profesional serta selari dengan nilai budaya dan agama masyarakat.
Ia termasuk modul terapi berunsurkan urutan dan minuman ‘air piya’, kata mereka lagi.
“Berkenaan dakwaan bahawa kami telah mengajar kaedah urutan berunsur falsafah Tantra, ingin kami tegaskan kaedah urutan kami sebenarnya telah diadaptasi daripada gabungan ‘urutan otot pelvic’ dan juga ‘urutan Thai’ dan kaedah ini telah diolah agar bersesuaian dengan nilai tempatan dan tidak melibatkan unsur atau ritual agama lain.
“Ia juga adalah modul pilihan dan peserta kami tidak diwajibkan untuk mengikutinya.
“Tentang minuman Piya pula, kami ingin jelaskan bahawa ia hanyalah campuran koko asli (raw cocoa), madu dan rempah semula jadi yang dirumus untuk membantu menenangkan fikiran dan tubuh badan.
“Minuman ini langsung tidak mengandungi bahan terlarang atau ‘cendawan ajaib’ seperti yang didakwa,” kata mereka lagi.
‘Tanggal pakaian di program’
Pada 11 Julai lalu, satu hantaran di Facebook mendakwa program eHati yang diadakan khas untuk peserta wanita di Shah Alam melibatkan pengasas dan fasilitator program menanggalkan pakaian mereka, dan kemudiannya menari bersama-sama peserta lain.
Peserta yang hadir juga diminta meminum sejenis air yang didakwa menyebabkan perubahan emosi dan rasa ghairah.
Hantaran berkenaan juga mendakwa pengasas program itu kemudian menari bersama seorang lagi ahli wanita yang lain dalam keadaan mengghairahkan.
Selepas sesi menari itu tamat, seorang model yang tampil tanpa sebarang pakaian diperkenalkan di hadapan peserta untuk demonstrasi yang dinamakan sesi rebirth (lahir semula) dan mandi suci.
Peserta lain juga didakwa diminta menyertai aktiviti “mandi suci” dan "rebirth" berkenaan.
Hantaran itu kemudian tular dan mengundang kritikan pelbagai pihak.
Polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memulakan ke atas program itu.
Mengulas kenyataan pasangan itu, Masyitah dalam hantaran di Facebook hari ini berkata penjelasan tersebut tidak secara jelas menafikan dakwaan bahawa terdapat peserta menari dalam keadaan tidak berpakaian; penjualan dan pemilikan alat bantu seks; atau kewujudan modul berkaitan onani.
‘Membantu wanita sudah berkahwin’
Dalam kenyataan hari ini, Diyana dan Rahim juga berkata modul eHati direka untuk membimbing peserta melalui teknik pengurusan emosi yang berkesan, termasuk latihan pernafasan, Trauma Release Exercises dan hipnoterapi bagi membantu wanita mencapai ketenangan dalaman mental.
“Ada juga program kami yang membantu wanita yang sudah berkahwin dan mungkin sedang menghadapi cabaran dalam hubungan suami isteri, termasuk kekeliruan tentang tubuh sendiri atau persediaan emosi dan fizikal sebelum dan ketika bersama pasangan.
“Namun, modul ini tidak dibuka kepada umum dan hanya ditawarkan secara tertutup kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja,” kata mereka lagi.
Diyana dan Rahim berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap mereka..
Mereka juga berkata telah membuat laporan polis pada Sabtu lalu bagi menuntut siasatan menyeluruh dijalankan.
“Kami juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan perkara ini dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya,” kata mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan semalam mengesahkan bahawa polis akan mengambil keterangan daripada semua peserta di bawah Seksyen 122 Kanun Tatacara Jenayah.
Kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 294 dan 509 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Dalam perkembangan terbaru, Berita Harian memetik Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, mengesahkan Diyana dan Rahim ditahan selepas memberi kenyataan.
“Maklumat lanjut akan menyusul selepas beberapa tindakan diambil," katanya seperti dilapor.

