ULASAN | Berita mengenai kemungkinan pelantikan Nick Adams sebagai Duta Besar AS yang baru ke Malaysia mencetuskan kejutan diplomatik di negara ini, sekali gus mencetuskan pelbagai komen negatif.
Ketika dunia menyaksikan keengganan berterusan Washington untuk mengawal Tel Aviv yang semakin ganas membunuh di Gaza, tindakan mereka menghantar diplomat yang tidak berpengalaman serta mempunyai latar belakang penuh kontroversi dianggap sebagai satu bencana diplomatik.
Situasi ini juga berlaku ketika AS terlibat bersama Israel dalam program bantuan kemanusiaan yang sangat kontroversi di Gaza dan menyaksikan ratusan kematian tragik dalam kalangan orang awam yang datang untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan.
Ratusan kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak bersenjata ditembak dan dibom hingga mati ketika cuba mendapatkan bantuan tersebut.
Beberapa hari lalu, satu majlis memperingati Genosid Srebrenica diadakan di Kosovo bagi mengenang pembunuhan kira-kira 8,000 umat Islam Bosnia pada 1995.
Ia merupakan tragedi kemanusiaan yang mengejutkan dunia pada 30 tahun lalu. Tragedi itu berlaku apabila pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Belanda gagal menjalankan tanggungjawab dan meninggalkan komuniti Islam yang sepatutnya dilindungi, lalu membiarkan mereka diserahkan kepada tentera Serbia.
Kegagalan sebuah negara Barat itu untuk melindungi umat Islam Bosnia membolehkan pembantaian besar-besaran berlaku tanpa sebarang halangan.
Kini AS terlibat dalam Program Bantuan Kemanusiaan di Gaza bersama Israel. Namun begitu, laporan menunjukkan bahawa umat Islam Palestin yang mendekati pusat bantuan telah ditembak oleh tentera Zionis.
Ia sekali lagi menunjukkan kelemahan atau keengganan kuasa besar dunia untuk bertindak secara adil dan melindungi rakyat yang tertindas.
Kedudukan sebagai Pengerusi Asean
Kejadian itu amat mengingatkan kita kepada kata-kata yang pernah dilafazkan selepas tragedi Bosnia dahulu: “Never again”. Itulah juga yang turut diulang-ulang selepas insiden Holocaust sewaktu Perang Dunia Kedua.
Namun kekejaman terhadap umat Islam terus berulang — di Bosnia pada tahun 1995, dan di Gaza pada 2025.
Rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa berasa amat marah dan kecewa melihat kekejaman yang terus berlaku tanpa tindakan tegas daripada kuasa-kuasa besar dunia.
Dalam suasana yang sangat sensitif ini, adalah amat tidak wajar sekiranya individu Adams — yang mempunyai latar belakang kontroversial dan dikenali sebagai penyokong tegar Presiden Donald Trump — dipertimbangkan untuk dilantik sebagai duta AS ke Malaysia.
Pelantikan Adams bukan sahaja tidak sesuai, malah berpotensi mencetuskan kemarahan dan mengeruhkan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.

Rakyat Malaysia menyeru pelantikan itu dikaji semula dengan penuh pertimbangan terhadap sensitiviti rakyat Malaysia, khususnya dalam konteks penderitaan rakyat Palestin yang semakin meruncing, serta keperluan untuk menjaga hubungan antarabangsa yang harmoni, saling menghormati dan berlandaskan nilai kemanusiaan sejagat.
Perkara yang paling penting dan perlu diberi perhatian oleh Malaysia ialah kedudukan kita sebagai Pengerusi Asean serta kecenderungan Rumah Putih untuk memperbesarkan isu China dalam kalangan negara-negara Asean.
Asean mempunyai pendekatan dan tradisi tersendiri dalam menyelesaikan perbezaan dan pertikaian di rantau ini, yang sehingga kini berjaya mengekalkan kestabilan dan keamanan.
Kehadiran seorang duta AS yang tidak berpengalaman dan lantang bersuara, serta mempunyai latar belakang yang kontroversi di Malaysia berpotensi menggugat kestabilan rantau Asean, kerana Washington mungkin menggunakan kedudukannya untuk membawa agenda peribadi dalam konflik ekonomi dan politik globalnya dengan Beijing.
Ukraine dan Israel merupakan kawasan konflik semasa yang dipengaruhi kuat oleh AS, dan ramai penganalisis mengenal pasti Laut China Selatan sebagai satu lagi potensi titik panas dan mungkin dieksploitasi oleh Washington.
Amanah menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan dengan serius agar tidak menerima pelantikan Adams.
Terlalu berisiko untuk membenarkan pelantikan Adams kerana ia boleh merosakkan kestabilan serantau yang telah dibina dengan susah payah selama ini.
RAJA BAHRIN SHAH ialah Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

