Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata dia menyertai perarakan anjuran Majlis Peguam Malaysia hari ini sebagai seorang warganegara yang prihatin, sambil menjelaskan bahawa kehadirannya dalam demonstrasi petang ini bagi menuntut kebebasan badan kehakiman didorong oleh pendiriannya yang seiring dalam isu tersebut.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Izzah mengingatkan orang ramai bahawa dia juga pernah bersuara dalam isu berkaitan demokrasi ketika pentadbiran kerajaan lalu.
“Saya pernah bersuara ketika kerajaan PN melemahkan demokrasi dengan menutup Parlimen. Saya juga bersuara apabila (Dr) Mahathir (Mohamad) gagal menunaikan janjinya sebagai Perdana Menteri ketujuh. Hari ini, saya sekali lagi perlu bersuara, demi memastikan kerajaan Madani terus mempertahankan integriti badan kehakiman kita.
“Saya menyertai perarakan ini sebagai rakyat Malaysia yang prihatin – untuk mendengar, menyaksikan sendiri, dan menyatakan solidariti terhadap kebimbangan yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam.

“Tiga cabang kerajaan – kehakiman, eksekutif dan legislatif – wujud untuk saling mengimbangi antara satu sama lain, memastikan tiada satu cabang pun yang bertindak tanpa kebertanggungjawaban,” katanya.
Nurul Izzah berkata, perkara paling penting dalam mewujudkan sistem kehakiman yang bebas ialah tiadanya campur tangan, sama ada dari dalam atau luar.
Sehubungan itu, katanya, mereka yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak bukan sahaja perlu berkemampuan, tetapi juga mesti mempunyai integriti moral yang tertinggi untuk melaksanakan tugas tersebut.
“Pada masa ini, dakwaan campur tangan kehakiman diperkuatkan lagi dengan kewujudan satu laporan polis berhubung perkara itu, serta dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC),” katanya.
Pada 12 Jun lalu, seorang hakim kanan mengarahkan pembantunya membuat laporan polis selepas Malaysiakini menghubungi hakim tersebut bagi mendapatkan maklum balas berkenaan dakwaan bahawa dia terlibat dalam campur tangan kehakiman ketika mesyuarat JAC pada bulan Mei.
Laporan polis tersebut kemudiannya bocor dua minggu kemudian.
Kemudian pada Sabtu, minit mesyuarat JAC bulan Mei yang didakwa sahih turut tersebar di media sosial, dan dilihat menyokong dakwaan terhadap hakim terbabit, serta kebimbangan tentang campur tangan kehakiman yang lebih meluas.

“Penting untuk dakwaan-dakwaan ini disiasat bagi mengembalikan keyakinan terhadap badan kehakiman. Siasatan boleh dimulakan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan melalui penubuhan tribunal bebas yang terdiri daripada sekurang-kurangnya lima orang hakim kanan,” katanya.
Nurul Izzah turut mengingatkan orang ramai mengenai beberapa siri salah guna kuasa yang pernah berlaku sebelum ini, seperti pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas, serta skandal pengaturan hakim yang didedahkan melalui pita video VK Lingam, yang telah mengukuhkan tekadnya untuk memastikan kebebasan badan kehakiman terus terpelihara hari ini.
“Hari ini, kita menggunakan hak perlembagaan untuk berhimpun secara aman – satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan disokong oleh Perdana Menteri.
“Dalam semangat reformasi dan keadilan yang menjadi asas perjuangan PKR, kita perlu menambah baik struktur sedia ada dengan menjadikannya lebih telus,” katanya.
Persoal penggantungan
Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mempersoalkan sama ada PKR akan turut menuntut penggantungan terhadap Nurul Izzah selepas dia menghadiri perhimpunan tersebut.
Bercakap kepada Malaysiakini, Rafizi yang juga bekas timbalan presiden PKR, berkata tindakan itu meletakkan parti dalam “kedudukan yang janggal”.
Sebelum ini sebanyak 19 ketua cabang PKR Johor menuntut penggantungan Rafizi dan lapan lagi ahli parlimen parti itu kerana melanggar disiplin parti dengan mengadakan sidang media terbuka bagi menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pelantikan kehakiman.
Sehari kemudian, 11 ketua cabang PKR dari Kedah pula menyatakan sokongan terhadap tuntutan tersebut.
Rafizi dan lapan ahli parlimen PKR lain juga menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai reformasi institusi menyiasat dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.

