malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Ahli Parlimen PH diberi taklimat isu kehakiman, tribunal’
ADS

Ahli Parlimen PH diberi taklimat mengenai pelbagai isu semasa termasuk berkaitan pembentukan tribunal kehakiman dalam perjumpaan tertutup Ahli Parlimen PH bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Ketua Penerangan PKR berkata ahli Parlimen turut diberikan penjelasan mengenai Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada pelantikan, pemecatan dan syarat perkhidmatan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

"Ada juga (penjelasan) mengenai pembentukan tribunal dan beberapa perkara yang berkaitan, itu sahaja," katanya kepada media selepas perjumpaan tersebut di Kompleks Seri Perdana, di Putrajaya hari ini.

Dia berkata maklumat lanjut mengenai perkara berkaitan badan kehakiman akan dimaklumkan pada sidang media pasca-Kabinet.

Sementara itu, Fahmi berkata sesi perjumpaan tertutup hampir dua jam bersama Perdana Menteri diterima baik oleh ahli Parlimen PH.

"Pertemuan ini sangat-sangat baik dan diterima baik oleh ahli Parlimen. Insya-Allah, kita akan lihat perkara-perkara yang berbangkit selepas ini," katanya.

Pertemuan itu merupakan kesinambungan kepada sesi serupa bersama ahli Parlimen BN pada 11 Julai lepas bagi menjelaskan beberapa isu semasa termasuk mengenai cukai, khabar angin subsidi petrol RON95 dan isu badan kehakiman.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen