Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata dia tidak akan menyertai pertemuan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan ahli Parlimen PH di Seri Perdana hari ini.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Rafizi berkata ini kerana dia sudah maklum dengan penjelasan yang akan diberikan Anwar, yang juga pengerusi PH.
Justeru, katanya, dia memberi ruang kepada ahli Parlimen kerajaan yang lain untuk hadir dan mendengar penjelasan tersebut, dan seterusnya membuat penilaian mereka.
“Tidak, saya tak (hadir). Saya sudah pun maklum dengan penjelasan itu sejak beberapa bulan lalu, jadi saya jangka perdana menteri akan beri penjelasan yang sama. Saya faham, kerana sebelum ini isu ini belum capai suhu nasional, jadi penjelasan hanya diberikan kepada beberapa orang sahaja.
“Saya fikir itulah sebabnya perdana menteri lebih memilih pertemuan tertutup dengan ahli Parlimen, bukan secara terbuka, kerana dia rasa ada maklumat sensitif yang saya juga tahu sejak beberapa bulan lalu, sebelum saya letak jawatan.
“Saya beri peluang kepada ahli Parlimen lain yang belum dengar penjelasan, dan saya harap setiap ahli Parlimen dapat menilainya dengan cepat,” katanya.

Kata Rafizi lagi, dia tidak pasti sama ada lapan ahli parlimen PKR yang bersama-samanya menyeru menyeru penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dan siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) ke atas dakwaan campur tangan kehakiman akan menyertai pertemuan itu atau tidak.
Petisyen yang dilancarkan Rafizi di media sosial pada Jumaat lalu bertujuan menunjukkan sokongan awam ubtuk badan kehakiman yang bebas dan berintegriti, selain menggesa rakyat supaya menuntut pemisahan kuasa serta kedaulatan undang-undang dipelihara.
Rafizi dan lapan lagi ahli parlimen PKR telah menggesa penubuhan RCI untuk menyiasat dakwaan kerajaan mengenepikan cadangan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sebelum persaraan Tengku Maimun Tuan Mat, termasuk cadangan pelantikan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.
Pada 11 Julai lalu, Anwar dilaporkan mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen BN di kediaman rasminya di Kompleks Seri Perdana.
Menurut Bernama, pertemuan itu dipercayai berhubung isu semasa, termasuk hal berkaitan sidang Parlimen yang akan datang.
Sehari kemudian, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir berkata pertemuan itu bagi membincangkan dasar-dasar kerajaan penjelasan berkenaan isu semasa.
Katanya, pertemuan seumpama itu memang sering diadakan memandangkan BN adalah komponen dalam kerajaan persekutuan.

Pertemuan dengan ahli Parlimen ini dibuat pada hari sama Badan Peguam Malaysia mengadakan perarakan di Putrajaya, yang disertai kira-kira 400 orang, merangkumi peguam dan sejumlah pemimpin pembangkang.
Tujuh wakil Badan Peguam yang diketuai presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab juga menyerahkan memorandum tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri selepas berarak dari Istana Kehakiman.
Turut serta adalah timbalan presiden PKR dan juga anak Anwar, Nurul Izzah.
Dalam kenyataannya, Nurul Izzah berkata kebimbangan terhadap campur tangan dalam badan kehakiman dikuatkan lagi dengan laporan polis yang dibuat pembantu seorang hakim, selain dakwaan kebocoran dokumen yang dikatakan sebagai minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Badan Peguam Malaysia juga dijadual mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada 26 Julai ini bagi membincangkan isu-isu berkaitan.

