malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Nak gantung saya sebab petisyen, bagaimana dengan Nurul Izzah sertai demo?'
ADS

Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan jika pemimpin parti itu yang membidasnya sebelum ini, akan turut menggesa agar Nurul Izzah digantung susulan penyertaannya dalam perarakan mempertahankan institusi kehakiman di Putrajaya hari ini.

Bercakap dengan Malaysiakini, Rafizi berkata tindakan timbalan presiden PKR itu meletakkan parti tersebut “dalam keadaan janggal”.

“Dia sepatutnya boleh menyelamatkan parti kerana, sebagai timbalan presiden, mereka (ahli akar umbi) akan mengambil isyarat daripada kepimpinan tertinggi. Sembilan ahli Parlimen ini hanyalah penyokong kerajaan biasa.

“Pandangan kami berdasarkan perspektif kami yang kami boleh melaksanakan tugas sebagai ahli Parlimen,” katanya.

Terdahulu, seramai 19 ketua cabang PKR Johor menuntut agar Rafizi dan lapan lagi ahli Parlimen parti lain digantung kerana melanggar disiplin parti dengan mengadakan sidang media bagi mendesak penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung pelantikan kehakiman.

Sehari kemudian, 11 ketua cabang PKR Kedah turut menyokong gesaan itu.

Selain penubuhan RCI, Rafizi dan lapan ahli Parlimen PKR yang lain turut menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkenaan reformasi institusi untuk menyiasat dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.

Isyarat bercampur

Rafizi menjelaskan kepimpinan PKR belum ada pendirian rasmi berhubung isu campur tangan kehakiman, yang menyebabkan sebahagian pemimpin akar umbi bertindak terburu-buru dengan menyeru penggantungan ke atas beberapa individu.

Dia berpendapat penyertaan Nurul Izzah dalam perarakan hariini menunjukkan pendiriannya dalam isu tersebut.

“Saya rasa dengan dia menyertai perarakan hari ini, jelas dia turut berkongsi kebimbangan kami terhadap apa yang sedang berlaku dalam badan kehakiman,” katanya.

Dia turut menyuarakan harapan agar barisan kepimpinan baru PKR cekap untuk memberi respons terhadap isu-isu semasa dan mengelakkan kejadian seperti pada masa ini daripada berulang.

PKR patut di depan

Rafizi menyuarakan kekesalan yang penyertaan Nurul Izzah dalam perarakan hari ini akan dilihat sebagai sudah terlambat.

“PKR sentiasa perlu berdepan dengan harapan yang tinggi, terutama dalam isu-isu berkaitan reformasi, di mana kita sentiasa dijangka menjadi pendahulu dalam perjuangan.

“Saya harap dia akan lebih proaktif, supaya pada masa akan datang kita dilihat menerajui perjuangan, bukan sekadar hadir untuk bergambar,” katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen