Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan agar secara rasmi menolak pencalonan pengulas sayap kanan, Nick Adams, sebagai Duta Amerika Syarikat yang baru ke Malaysia.
Ahli Parlimen Machang dari Bersatu itu menyifatkan pencalonan tersebut — yang diumumkan pada 10 Julai oleh bekas Presiden AS, Donald Trump — sebagai “sangat membimbangkan dan tidak boleh diterima”, merujuk kepada rekod kontroversi Adams dan ketiadaan pengalaman dalam bidang diplomatik.
“Pencalonan ini perlu dilihat dalam konteks keputusan pentadbiran Trump baru-baru ini untuk menaikkan tarif secara khusus ke atas eksport Malaysia — menjadikan Malaysia satu-satunya negara Asean yang dikenakan layanan sebegitu.
“Masa dan sifat kedua-dua keputusan ini menunjukkan satu penghinaan yang disengajakan terhadap kerajaan Malaysia serta isyarat tidak menghormati kedaulatan dan maruah diplomatik negara,” katanya dalam kenyataan.
Adams, seorang penulis konservatif dan pengulas politik kelahiran Australia, dinamakan sebagai antara beberapa calon duta — termasuk ke Thailand, Sri Lanka, dan Kazakhstan — yang kini menunggu proses pengesahan oleh Jawatankuasa Hubungan Luar Senat AS.
Dia yang berusia 40 tahun bakal menggantikan Edgard Kagan, seorang diplomat yang dicalonkan oleh bekas Presiden Joe Biden pada Mei 2023.

Di media sosial, Adams dikenali kerana sering memaparkan gaya hidup “lelaki macho” seperti makan stik dan kerap ke restoran Hooters yang terkenal dengan pelayan berpakaian seksi.
Fayhsal, yang memegang portfolio hal ehwal luar Bersatu, turut mendesak tindakan segera daripada Wisma Putra.
“Kami menggesa Kementerian Luar Negeri untuk mengeluarkan nota bantahan diplomatik kepada kerajaan AS, dengan jelas menyatakan bantahan Malaysia terhadap pencalonan ini.
“Kegagalan bertindak tegas akan mencerminkan kelemahan komitmen pentadbiran Madani dalam mempertahankan maruah dan kebebasan dasar luar negara,” katanya.
Tambahnya, di bawah Perkara 4 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961, Malaysia mempunyai hak berdaulat untuk menolak agrément — iaitu persetujuan rasmi — terhadap mana-mana pencalonan duta yang dianggap tidak sesuai.
“Malaysia tidak boleh berdiam diri menghadapi penghinaan sebegini. Maruah negara mesti dipertahankan,” tegasnya.
Semalam, bekas menteri Khairy Jamaluddin turut menyertai gesaan agar kerajaan menolak pencalonan Adams dengan merujuk kepada Konvensyen Vienna.

