Seorang peguam yang juga bekas pemimpin kanan PKR Pahang berharap parti itu tidak mengambil tindakan disiplin ke atas Nurul Izzah Anwar selepas timbalan presiden parti itu turut serta dalam perhimpunan peguam mempertahankan kebebasan badan kehakiman di Putrajaya hari ini.
Namun, Ahmad Nizam Hamid berkata, jika perkara itu menjadi sebaliknya, dia sedia memberikan khidmat undang-undang mempertahankan Nurul Izzah di depan Lembaga Disiplin PKR.
"Sebagai ahli Majlis Peguam Malaysia, saya sangat menghargai kehadiran Nurul Izzah memberikan sokongan dan solidariti bersama Badan Peguam Malaysia mempertahankan kebebasan kehakiman yang menjadi tiang penting negara hari ini.
"Sebagai anggota PKR pula, saya memohon setiausaha agung parti (Fuziah Salleh) agar tidak mengambil tindakan disiplin seperti mengambil siasatan terhadap Nurul Izzah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam nada sinis, Ahmad Nizam yang juga mantan Timbalan Pengerusi PKR Pahang turut berharap agar tiada mana-mana pihak dalam parti itu “tidak terlalu teruja” untuk mengeluarkan kenyataan mengecam individu yang mendesak agar isu pelantikan kehakiman negara diteliti.

Awal petang tadi perarakan ratusan peguam bersama aktivis sivil menyaksikan kemunculan Nurul Izzah sebagai salah seorang yang menyokong gesaan agar kebebasan badan kehakiman dipertahankan.
Himpunan dan perarakan tersebut dianjurkan Badan Peguam Malaysia.
Isu pelantikan jawatan kanan badan kehakiman kali ini menjadi perhatian ramai selepas Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas menteri ekonomi membangkitkannya dalam satu sidang media pada 7 Julai lalu.
Bersama Rafizi membuat gesaan itu ialah lapan lagi ahli parlimen PKR termasuk bekas naib presiden yang juga bekas menteri, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Mereka menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi meneliti isu tersebut, selain mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Reformasi Institusi untuk memanggil Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memberi keterangan.
Ia mendorong sekumpulan ketua-ketua cabang menuntut Fuziah supaya mengambil tindakan menggantung sementara keahlian Rafizi serta lapan ahli parlimen PKR yang lain kerana membuat gesaan berkenaan.
Setakat ini, 19 ketua cabang dari Johor dan 11 dari Kedah sudah membuat gesaan atas alasan mereka melanggar disiplin parti.
Menurut Nurul Izzah, dia turun menyertai himpunan petang ini kerana perlembagaan melindungi hak rakyat untuk berhimpun secara aman, dan ia turut didukung oleh Anwar.

