malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP terpalit isu baru dengan keluarga Teoh ekoran kata-kata Ngeh
Diterbitkan:  Jul 14, 2025 5:01 PM
Dikemaskini: 9:01 AM
ADS

Menjelang ulang tahun ke-16 kematian tragis bekas pembantu ahli politik DAP, Teoh Beng Hock, parti itu kini terheret dalam satu pertikaian terbaru dengan keluarganya, susulan kenyataan yang disifatkan sebagai “menghina” daripada seorang pemimpin kanan parti itu.

Kontroversi itu mendorong Anthony Loke memohon maaf secara terbuka dan turut mencetuskan kenyataan yang tegas oleh adik Teoh, Lee Lan.

Pertikaian terbaru ini bermula pada 12 Julai lalu apabila Ahli Parlimen Beruas merangkap Bendahari DAP, Ngeh Koo Ham, menyatakan secara terbuka bahawa DAP secara konsisten memberikan sokongan kewangan dan guaman kepada keluarga Teoh sejak kematiannya.

Menurut laporan China Press, Ngeh berkata DAP berjaya mengumpulkan kira-kira RM500,000 untuk keluarga tersebut serta menubuhkan pasukan guaman pro bono.

Dia turut mendakwa bahawa DAP memperjuangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melalui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan berjaya mendapatkan pampasan sebanyak RM600,000 daripada kerajaan, sebagai bukti bantuan berterusan parti itu.

“Lee Lan mungkin telah disalahmaklum, dan akibatnya, bukannya menghargai DAP yang sentiasa menyokong keluarga Teoh, beliau sebaliknya mengkritik dan menyerang parti secara terbuka,” kata Ngeh dalam majlis makan malam di Manjung, Perak.

DAP jauhkan diri dari kenyataan Ngeh

Sehari selepas kenyataan itu iaitu pada 13 Julai, Anthony Loke mengeluarkan kenyataan bahawa pandangan Ngeh “tidak mewakili pendirian dan pandangan rasmi DAP”.

“Pimpinan DAP tidak pernah menyalahkan mana-mana ahli keluarga Teoh. Kami amat memahami dan menghormati perasaan mereka serta hak mereka untuk bersuara dan mengkritik parti.

“Beng Hock kehilangan nyawa akibat penganiayaan politik ketika berkhidmat untuk DAP. DAP tidak mungkin dapat memulangkan seorang anak kepada keluarga Teoh, dan sesungguhnya parti ini berhutang sesuatu yang tidak dapat dibalas kepada mereka.

“Sekiranya kenyataan Ngeh telah melukakan hati keluarga Teoh, saya dengan rendah hati memohon maaf bagi pihak DAP,” kata Menteri Pengangkutan itu.

Pada tahun 2009, Beng Hock yang merupakan pembantu kepada Exco kerajaan negeri Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas disoal siasat semalaman di ibu pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam.

Pada tahun 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja mendapati dia membunuh diri akibat kaedah soal siasat yang agresif.

Namun pada tahun 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematiannya berpunca atau dipercepatkan oleh tindakan menyalahi undang-undang, termasuk oleh pegawai SPRM.

Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis menyiapkan siasatan dalam tempoh enam bulan, selepas permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa Beng Hock dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Namun pada 20 Mei tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah memaklumkan kepada peguam keluarga Teoh bahawa Jabatan Peguam Negara memutuskan bahawa kes itu diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Keluarga Teoh keluarkan penafian tegas

Sebagai respons kepada kenyataan Ngeh, Lee Lan mengeluarkan penafian tegas pagi ini melalui tujuh hujah utama, dengan meluahkan “kesakitan yang mendalam” dan “penyesalan” terhadap apa yang disifatkannya sebagai “fitnah jahat” yang menyebabkan “kecederaan emosi yang tidak dapat dipulihkan dan salah faham orang ramai”.

Dia berkata keluarga Teoh sentiasa mengingati dan menzahirkan penghargaan kepada DAP dan masyarakat sivil dalam pelbagai majlis, malah memuji usaha awal parti itu secara terbuka dalam satu sidang media pada Jun tahun ini.

“Kalau semua ini masih belum cukup, apa lagi yang perlu keluarga Teoh lakukan untuk memuaskan hati Ngeh?” soalnya.

Lee Lan turut menjelaskan bahawa mendiang Karpal Singh menawarkan bantuan guaman secara percuma atas reputasinya sebagai peguam hak asasi manusia yang dihormati, bukan kerana keanggotaannya dalam DAP.

Dia juga menjelaskan bahawa Tabung Teoh Beng Hock diumumkan oleh DAP ketika majlis memperingatinya tanpa pengetahuan awal keluarga atau penglibatan mereka dalam keputusannya.

Katanya, walaupun keluarga menerima tabung tersebut untuk memastikan kebajikan balu dan anak yang belum lahir ketika itu, ia tidak pernah digunakan untuk tujuan lain.

Dia turut menyatakan bahawa pampasan RM600,000 itu adalah atas ttanggungjawab sivil oleh SPRM ketika era BN dan bukan kerana ada pihak dihukum kerana jenayah.

Lee Lan menggesa Loke dan kepimpinan DAP hadir ke majlis memperingati Beng Hock pada 19 Julai ini untuk secara terbuka menjelaskan sama ada parti itu telah membantu melalui Suhakam dan sama ada kenyataan Ngeh mewakili pendirian rasmi parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen