malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dapsy, DAP Kepong bercanggah soal lapor polis kebocoran minit JAC
Diterbitkan:  Jul 14, 2025 3:42 PM
Dikemaskini: 7:42 AM
ADS

DAPSY menyatakan ketidaksepakatan terhadap laporan polis dibuat oleh cawangannya di Kepong, yang menggesa pihak berkuasa menyiasat individu yang disyaki bertanggungjawab terhadap kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

“Kami tidak bersetuju dengan tindakan membuat laporan polis untuk menyiasat individu yang mendedahkan dokumen tersebut,” kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAPSY, Ho Chi Yang, kepada Malaysiakini.

Ho merujuk kepada laporan yang difailkan oleh Ketua DAPSY Kepong, Jefferson Chia, semalam.

Dalam laporannya, Chia berkata sekiranya kebocoran itu didapati sah, polis mesti mengenal pasti individu yang membocorkan dokumen sulit tersebut dan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap mereka.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng turut menyokong laporan tersebut dengan menegaskan jika tiada tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kebocoran tersebut, ia akan mencetuskan satu duluan berbahaya — dengan perbincangan sulit dan dokumen rahsia, termasuk yang melibatkan keselamatan negara, tidak lagi dapat dijamin kerahsiaannya.

Sementara itu, Ho berpandangan tindakan tergesa-gesa membuat laporan polis pada saat orang ramai sedang prihatin terhadap integriti badan kehakiman, boleh dilihat sebagai cubaan menyekat penelitian awam yang sah.

Adun Tanah Rata itu berkata walaupun agensi penguatkuasaan boleh menjalankan siasatan berdasarkan fakta secara profesional, siasatan itu seharusnya terhad kepada pengesahan keaslian dokumen yang dibocorkan.

Dalam kenyataannya hari ini, Ho berkata jika siasatan melebihi skop tersebut, ia akan mewujudkan satu duluan yang boleh menyekat keterbukaan atau mengekang kebertanggungjawaban.

“Bagi memelihara kebebasan dan kesucian badan kehakiman, DAPSY sebelum ini telah menggesa kerajaan untuk memberi penjelasan terhadap persoalan awam yang semakin meningkat berkaitan pelantikan kehakiman.

“Keyakinan awam terhadap kebebasan kehakiman boleh dikembalikan melalui penjelasan yang tepat pada masanya dan telus,” katanya.

Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, sebelum ini memaklumkan bahawa polis sedang menyiasat kebocoran minit mesyuarat JAC yang didakwa berlaku, di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Menurut Khalid, siasatan yang dikendalikan oleh Unit Siasatan Klasifikasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu akan memfokus kepada bagaimana maklumat dalaman tersebut boleh tersebar dan didedahkan di media sosial.

Pada 12 Julai lalu, Malaysiakini melaporkan sebahagian petikan minit mesyuarat JAC bertarikh Mei didakwa telah bocor di media sosial.

Minit tersebut dipercayai mengandungi dakwaan yang hampir sama seperti dalam laporan polis yang dibocorkan pada Jun, yang difailkan bagi pihak seorang hakim kanan yang dituduh mencampuri urusan kehakiman.

Laporan polis itu difailkan selepas Malaysiakini menghubungi hakim berkenaan pada 12 Jun untuk mendapatkan komen terhadap dakwaan yang dikatakan berlaku semasa mesyuarat JAC.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen