Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar hadir dalam perhimpunan peguam mempertahankan badan kehakiman di Putrajaya hari ini.
Berbaju kurung ungu, dia dilihat berbual-bual dan malah bergambar dengan seorang peserta demonstrasi yang memegang sepanduk bertulis "Walk the talk, judicial independence" (kata dikota, kebebasan kehakiman).
Barisan peguam hari ini berarak dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri, kira-kira 2.5km bagi menyerahkan memorandum empat tuntutan.
Demonstrasi anjuran Badan Peguam Malaysia itu menuntut:
Pengisian kekosongan jawatan kehakiman tertinggi.
Pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini.
Menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman.
Menangani kekosongan kehakiman secara menyeluruh.

Perarakan ini berlaku di tengah-tengah kebimbangan mendalam tentang kebebasan kehakiman.
Sabtu lalu, kebocoran minit mesyuarat JAC bulan Mei yang didakwa seolah-olah mengukuhkan tuduhan campur tangan kehakiman terhadap seorang hakim kanan.
Terdapat juga kebimbangan bahawa kerajaan meminggirkan cadangan JAC–yang dibuat ketika Tengku Maimun Tuan Mat masih menjadi ketua hakim negara–untuk mengisi jawatan kehakiman penting.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan dia tidak campur tangan dalam urusan mahkamah.
Anwar dijangka mengadakan mesyuarat dengan anggota parlimen Pakatan Harapan mengenai isu kehakiman petang ini di kediaman rasminya di Putrajaya.

