Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan masyarakat Kelantan masih berada pada landasan yang betul dan tidak wajar dihukum hanya kerana kesalahan melibatkan beberapa individu tertentu berkaitan dadah.
Menurutnya, sebarang komentar mengenai masyarakat Kelantan harus bersifat adil dan menyeluruh, bukan semata-mata berdasarkan kes terpencil.
"Secara keseluruhannya, keadaan masyarakat di Kelantan masih berada dalam landasan yang baik. Ada peningkatan dari segi kesedaran agama, usaha pendidikan, peranan institusi dan kerjasama rakyat.
"Tidak adil jika kita menilai keseluruhan negeri hanya berdasarkan kesalahan beberapa individu.
"Analogi mudah, kalau dalam sebuah negara ada beberapa ribu orang dalam penjara, itu tidak bermakna seluruh rakyat negara itu jahat. Kita tidak boleh menilai masyarakat berdasarkan mereka yang menyimpang sahaja. Yang masuk penjara itu memang melakukan kesalahan dan perlu dihukum, tetapi jutaan lagi rakyat di luar sana hidup dengan jujur, berbakti kepada keluarga dan masyarakat serta membina negara," katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas situasi semasa, Mohd Amar turut mengakui laporan Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, baru-baru ini menunjukkan gambaran membimbangkan.
Antaranya, isu pil kuda yang popular dalam kalangan remaja dan pelajar, serta pendedahan bahawa 98 peratus kes rogol bawah umur adalah berdasarkan persetujuan bersama.
Dia juga tidak menafikan terdapat kes pengedaran dadah berskala besar melibatkan nilai jutaan ringgit yang berlaku di Kelantan, termasuk oleh penduduk tempatan sendiri.
Pada 3 Julai, polis telah menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis pil kuda bernilai RM6.16 juta di Pasir Mas dan Tumpat. Sindiket itu beroperasi di sebalik perniagaan sah seperti restoran makanan laut, perniagaan atas talian, dan salon kecantikan.
Manakala semalam, satu lagi sindiket dadah berjaya ditumpaskan oleh Polis Kelantan melibatkan sepasang suami isteri yang menjalankan perniagaan ayam segar dan bekerja sebagai pemandu e-hailing. Rampasan dadah kali ini bernilai RM3.1 juta.
Namun begitu, Mohd Amar yang juga Speaker DUN Kelantan menegaskan bahawa kritikan yang membina tetap dialu-alukan demi pembaikan negeri.
"Dalam menegur, kita tidak menolak. Dalam membaiki, kita tidak menghukum semua. Inilah keadilan yang diajar oleh Islam. Memberi hak kepada yang berhak, dan menilai setiap perkara berdasarkan timbang tara yang seimbang.
"Maka kepada sesiapa yang ingin memberi komentar terhadap keadaan masyarakat Kelantan, bersikaplah adil. Jangan sekadar melihat dari jauh, tetapi lihat dengan mata hati. Kerana jika kita berlaku adil, pasti kita akan temui bahawa masih ramai rakyat Kelantan yang menjadi contoh," tambahnya.

