Badan Peguam Malaysia hari ini berjaya mengadakan perarakan di Putrajaya dalam usaha mempertahankan kewibawaan institusi kehakiman.
Tujuh wakil badan itu yang diketuai presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab telah menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada Pejabat Perdana Menteri.
Sokong kami
Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami untuk perarakan mempertahankan institusi kehakiman, hari ini.
Jika anda suka liputan kami, sila langgan Malaysiakini dan sokong kewartawanan bebas.
Perarakan berjaya
3.50 petang: Badan Peguam Malaysia menamatkan perarakan hari ini dan mengisytiharnya sebagai berjaya.
Seorang wakil badan itu berkata, satu mesyuarat agung luar biasa akan diadakan pada 26 Julai ini bagi membincangkan hal-hal berkaitan.
Para peserta kemudian beredar dari sekitar Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan kembali ke Istana Kehakiman.

Badan Peguam P Pinang turut berarak
4 petang: Sebagai tanda sokongan kepada perarakan hari ini, Badan Peguam Pulau Pinang turut mengadakan perarakan pagi ini, menurut laporan Oriental Daily News.
Mereka menggesa kerajaan untuk segera melantik hakim yang memiliki integriti, pengalaman dan kemampuan bagi mengisi kekosongan jawatan kehakiman pada masa ini.
Perarakan bermula pada jam 11 pagi. Kira-kira 50 peserta berarak dari Jalan Green Hall ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
PMO belanja peserta ais krim
3.25 petang: Di saat para peserta berjemur di bulatan berhadapan pintu masuk utama Pejabat Perdana Menteri (PMO), tumpuan mereka beralih kepada agihan aiskrim.
Ketika itu, sejumlah peguam juga memberi ucapan kepada para peserta, dengan rata-ratanya menekankan tuntutan mereka.
Menurut seorang kakitangan PMO, lebih 100 mangkuk aiskrim berperisa coklat disediakan pihaknya untuk para peserta perarakan.
“Kami sediakan lebih 100 aiskrim dan juga air mineral untuk peserta perarakan hari ini,” katanya ringkas.
Marshal perarakan kemudian mengumumkan Presiden Badan Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab telah menyerahkan memorandum mereka kepada PMO.
Di tengah pengumuman itu, kedengaran suara menjerit: “Ais krim, ais krim! Siapa nak ais krim?”

Nurul Izzah gesa siasat dakwaan campur tangan kehakiman
3.10 petang: Nurul Izzah Anwar dalam kenyataannya menggesa siasatan dibuat terhadap dakwaan wujudnya campur tangan dalam kehakiman.
Dia berkata, dakwaan itu dikuatkan lagi dengan laporan polis yang dibuat pembantu seorang hakim, selain dakwaan kebocoran dokumen yang dikatakan sebagai minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Baca lanjut: ‘Saya turut bersama-sama berarak bagi pertahan kebebasan kehakiman'
Wakil Badan Peguam masuk ke PMO
3.05 petang: Tujuh wakil daripada Badan Peguam Malaysia diketuai Mohamad Ezri Abdul Wahab masuk ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi menyerahkan memorandum tuntutan mereka.
Sementara itu, para peguam lain berkumpul di bulatan di depan PMO dan Masjid Putra.
Seorang marshal menggesa mereka untuk menunggu kira-kira 20 minit di situ.
Nurul Izzah sertai awal perarakan
2.50 petang: Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dilihat di pekarangan Istana Kehakiman, di mana para peguam berkumpul sebelum berarak ke Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Berita Harian memuat naik gambar Nurul Izzah bersama-sama seorang peserta. Kedua-duanya memegang plakad yang tertera kata-kata "Walk the talk, judicial independence".
Pada Mei lalu, ketika berkempen untuk pemilihan PKR, dia menyifatkan dirinya sebagai unsur semak dan imbang bagi bapanya, Perdana Menteri merangkap Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ketika itu, Nurul Izzah antara lain berkata di akan membangkitkan bantahan yang disuarakan berhubung pelantikan semula Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Namun, sejak kemenangannya, dia belum memberi sebarang komen berhubung pelantikan Azam mahupun isu sekitar institusi kehakiman.
Mission: Impossible?
2.45 petang: Menyuntik elemen fungsi dan dramatik, seorang peguam menyertai perarakan dengan mengayuh basikal. Pembesar suara yang dipasang pada basikalnya memainkan lagi tema Mission: Impossible.
Perarakan melalui beberapa bangunan kerajaan utama, termasuk Kementerian Kewangan.

Peguam mula berarak
2.30 petang: Ratusan peserta mula berarak dari perkarangan Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Perarakan diketuai Presiden Badan Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab.
Sambil mengangkat plakad yang tertera kata-kata bertemakan kebebasan kehakiman, mereka turut melaungkan “bebas, bebas, bebas kehakiman”.
Ekoran cuaca yang panas, ada peserta yang menggunakan plakad untuk berteduh.
Malah, ketua perarakan turut melaungkan “panas, panas! Jalan cepat!”
Selain pihak polis, penganjur turut menyediakan petugas bagi mengawal perarakan.

‘Bukan sasar mana-mana tokoh’
2.15 petang: Presiden Badan Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Rahman menegaskan perarakan hari ini bukan untuk menyasarkan mana-mana tokoh, tetapi untuk mempertahankan prinsip.
“Biar jelas hari ini…perarakan hari ini untuk mempertahankan kebebasan kehakiman, berdasarkan undang-undang dan bukan politik.”
Kata Ezri, kegagalan para peguam untuk bertindak bukan sahaja akan melemahkan mahkamah, tetapi juga demokrasi.
‘Bebas! Bebas! Bebas Kehakiman!’
2 petang: Para peguam, yang mengenakan topi biru Majlis Peguam, mula berhimpun dan melaungkan “Bebas! Bebas! Bebas Kehakiman!”.
Antara individu dikenali yang menyertai himpunan termasuk presiden Majlis Peguam, bekas Peguam Negara Tommy Thomas, bekas Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim, serta pemimpin PN, antaranya Takiyuddin Hassan dan Wan Saiful Wan Jan.

Perarakan akan bermula tak lama lagi
1:50 petang: Perarakan bagi mempertahankan kebebasan kehakiman akan bermula pada pukul dua petang, bermula dari Istana Kehakiman dan berakhir di Pejabat Perdana Menteri, yang terletak 2.6km dari kompleks mahkamah.
Majlis Peguam akan menyerahkan memorandum dengan empat tuntutan, iaitu:
1. Pengisian kekosongan jawatan kehakiman tertinggi.
2. Pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini.
3. Menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman.
4. Menangani kekosongan kehakiman secara menyeluruh.

Kumpulan masyarakat sivil dan ahli politik pembangkang yang juga berkhidmat sebagai peguam dijangka hadir bagi menyokong perhimpunan ini.
Perarakan ini berlaku di tengah-tengah kebimbangan mendalam tentang kebebasan kehakiman.
Pada Sabtu lalu, kebocoran minit mesyuarat JAC bulan Mei yang didakwa seolah-olah mengukuhkan tuduhan campur tangan kehakiman terhadap seorang hakim kanan.
Terdapat juga kebimbangan bahawa kerajaan meminggirkan cadangan JAC – yang dibuat ketika Tengku Maimun Tuan Mat masih menjadi ketua hakim negara – untuk mengisi jawatan kehakiman penting.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan dia tidak campur tangan dalam urusan mahkamah.
Anwar dijangka mengadakan mesyuarat dengan anggota parlimen Pakatan Harapan mengenai isu kehakiman petang ini di kediaman rasminya di Putrajaya.
Ikuti laporan langsung Malaysiakini untuk perkembangan terkini.





