Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar berhati-hati sepenuhnya dalam mencadangkan individu yang integritinya diragui untuk dilantik ke jawatan tertinggi dalam badan kehakiman.
Merujuk kepada kebocoran minit mesyuarat Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) yang mengandungi dakwaan serius berhubung campur tangan kehakiman melibatkan seorang hakim kanan, ahli parlimen Bukit Gelugor itu menekankan peranan penting nasihat perdana menteri dalam pelantikan yang bakal dibuat ke jawatan kehakiman tertinggi.
Dia berkata pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan mungkin juga Ketua Hakim Malaya serta Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, bergantung kepada cadangan daripada perdana menteri.
“Umum mengetahui bahawa pelantikan-pelantikan ini dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan.
"Oleh itu, nasihat Perdana Menteri adalah amat penting dalam pelantikan-pelantikan ini dan mestilah dibuat dengan penuh berhati-hati, memandangkan betapa seriusnya dakwaan yang dikaitkan dengan hakim yang disebut dalam minit bocor tersebut,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Ramkarpal menekankan keperluan siasatan yang menyeluruh dan telus, sambil memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menghakis keyakinan awam terhadap kerajaan Madani.
Dia turut merujuk kenyataan Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, bahawa kebocoran itu sedang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (pendedahan maklumat yang diperoleh semasa menjalankan tugas), dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (penyalahgunaan kemudahan rangkaian).
Namun, Ramkarpal meluahkan kekesalan kerana tiada sebarang kenyataan dibuat berhubung dakwaan serius campur tangan kehakiman dalam minit yang bocor itu akan disiasat secara menyeluruh.
Katanya, kenyataan Khalid secara tidak langsung mengesahkan ketulenan minit tersebut, sekali gus mengukuhkan keperluan untuk menyiasat bukan sahaja kebocoran, tetapi juga salah laku yang didakwa berlaku.
“Dakwaan tersebut adalah sangat serius kerana ia melibatkan asas integriti sebuah institusi utama dalam sistem demokrasi, iaitu badan kehakiman, dan rakyat berhak mengetahui sama ada dakwaan itu benar atau tidak.
"Dalam keadaan ini, kerajaan tidak boleh dilihat sambil lewa dalam usahanya untuk melindungi integriti badan kehakiman, dan segala usaha mesti dilakukan bagi memastikan siasatan terhadap minit yang bocor itu dijalankan secara menyeluruh dan telus,” tambahnya.
Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli pada sebuah forum malam tadi mendakwa hakim yang terpalit itu mungkin akan dinaikkan ke jawatan Ketua Hakim Negara.
Ahli parlimen Pandan itu sebelum ini mengetuai sekumpulan ahli parlimen PKR mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap badan kehakiman,
Rafizi juga memberi amaran jika ramalan ini menjadi kenyataan, ia akan membawa kesan besar dan boleh melemahkan semangat hakim-hakim yang menjunjung integriti dan keadilan.
Dia turut membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan pembabitan elit maha kaya – pihak yang dikatakan terlibat dalam skandal pengaturan hakim VK Lingam – dalam krisis semasa.
Katanya, mereka mungkin sedang berusaha mendapatkan keputusan yang memihak dalam kes-kes mahkamah yang tidak didedahkan.
Anwar, yang juga pengerusi PH, dijadual bertemu dengan ahli parlimen gabungan itu di kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya petang ini untuk membincangkan isu berkaitan badan kehakiman.
Mesyuarat itu akan berlangsung serentak dengan perarakan oleh para peguam dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri sebagai tanda mempertahankan kebebasan badan kehakiman.

