malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LFL: Adakah k'jaan akan tangkap ribuan rakyat baca, kongsi minit JAC?
Diterbitkan:  Jul 14, 2025 11:03 AM
Dikemaskini: 3:57 AM
ADS

Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik pihak berkuasa kerana mengancam untuk mengambil tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) susulan kebocoran dakwaan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

NGO itu menyoal jika polis merancang untuk menahan puluhan ribu rakyat Malaysia yang telah membaca atau berkongsi dokumen itu, menegaskan pendirian kerajaan bercanggah dengan janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan OSA.

Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lalu berjanji untuk memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat dan mengehadkan penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) terhadap perkara yang berpotensi menggugat keselamatan negara. 

Klasifikasi pula hendaklah tertakluk kepada keputusan jawatankuasa parlimen danbukan budi bicara menteri.

Bagaimanapun kerajaan sekarang turut dianggotai oleh parti-parti lain seperti BN dan parti Sabah dan Sarawak yang tidak membuat janji yang sama.

Manifesto PH berkaitan OSA dalam pilihan raya umum lalu

Pengarah LFL, Zaid Malek turut menyifatkan langkah itu sebagai tidak perlu dan menunjukkan kerajaan tidak peka terhadap kebimbangan awam berhubung campur tangan terhadap kebebasan kehakiman.

“Adakah kerajaan berniat untuk menangkap puluhan ribu orang awam yang kini telah melihat, berkongsi atau memiliki minit JAC yang bocor? Adakah akan berlaku tangkapan besar-besaran di bawah OSA sekiranya orang awam membincangkan atau merujuk kepada minit JAC?

“Fokus represif kerajaan untuk menutup perbincangan dengan ugutan tindakan di bawah OSA (menunjukkan bahawa mereka) cuba menggunakan OSA untuk menyembunyikan kebenaran. Hanya kerajaan autoritarian (kuku besi) yang akan menggunakan cara seperti ini,” katanya pada kenyataan hari ini.

Kata Zaid, PH sebelum ini memperjuangkan pemansuhan OSA dan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Disember 2024 berkata Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat berkemungkinan dibentangkan di Parlimen tahun ini.

“Tetapi sekarang, mereka mengugut rakyat dengan OSA. Adakah janji dan komitmen kepada ketelusan dan aliran maklumat bebas ini telah ditinggalkan, seperti begitu banyak janji reformasi lain?

“Amat mengecewakan untuk melihat haluan yang diambil oleh kerajaan Madani dalam memberi reaksi terhadap dakwaan serius campur tangan terhadap kebebasan kehakiman, termasuk penafian longgar, penolakan melulu, dan kini ugutan terbuka kepada mereka yang mencari kebenaran,” katanya lagi.

Zaid turut mengulangi gesaan agar kerajaan segera menangani kebimbangan berkaitan institusi kehakiman, sambil menyatakan bahawa isu itu kini telah menjadi “krisis nasional”.

“Kebocoran minit JAC sebenarnya adalah untuk kepentingan awam, bukan menentangnya. Ia memperlihatkan kepada umum fakta-fakta penting yang patut diketahui. Rakyat mempunyai hak untuk tahu,” katanya.

Dia menggesa kerajaan agar segera melaksanakan moratorium terhadap semua siasatan polis di bawah OSA sementara menunggu pemansuhannya dan menegaskan keputusan dasar ini selari dengan “komitmen reformasi yang sering diulang”.

Semalam, Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata polis telah melancarkan siasatan di bawah OSA berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat JAC.

Menurut Khalid, siasatan itu dikendalikan oleh Unit Siasatan Klasifikasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan akan memfokuskan kepada bagaimana maklumat dalaman itu boleh terdedah dan tersebar di media sosial.

Dia turut memberi amaran kepada orang awam supaya tidak menyebarkan dokumen sulit, sambil menegaskan mereka boleh berdepan hukuman berat jika berbuat demikian.

Terdahulu, Pemuda DAP Kepong membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa mengenal pasti individu yang membocorkan dokumen sulit berkenaan dan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap mereka.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata kegagalan mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab atas kebocoran itu boleh mencetuskan duluan berbahaya – dengan perbincangan tertutup dan dokumen sulit, termasuk yang melibatkan isu keselamatan negara, tidak lagi dapat dilindungi.

Pada 12 Julai, Malaysiakini melaporkan petikan dakwaan minit mesyuarat JAC dari Mei mungkin telah bocor di media sosial.

Minit tersebut dikatakan mengandungi dakwaan yang sama seperti laporan polis yang bocor pada Jun lalu yang dibuat bagi pihak seorang hakim kanan yang dituduh melakukan campur tangan kehakiman.

Laporan polis itu difailkan selepas Malaysiakini menghubungi hakim berkenaan pada 12 Jun untuk mendapatkan komen mengenai beberapa dakwaan yang dilaporkan dikemukakan terhadap beliau dalam mesyuarat JAC.

Petang ini, Badan Peguam Malaysia akan mengadakan perarakan di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum kepada pejabat perdana menteri yang antara lain, menuntut agar satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat campur tangan kehakiman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen