Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak mencampuri urusan pelantikan kehakiman, dengan memberi amaran bahawa tindakan itu hanya akan mencemarkan legasi dia.
Rafizi berkata Anwar akan mensia-siakan segala usaha reformasinya jika meneruskan rancangan yang didakwa untuk menaikkan seorang hakim tertentu sebagai Ketua Hakim Negara.
“Saya juga harap perdana menteri, jangan abaikan perkara ini, jangan tolak ke tepi yang ini.
“Anda boleh jelaskan kepada ahli Parlimen, jelaskan kepada jemaah menteri dan kepada orang awam, dan jawab di Parlimen, tetapi intipati isu ini adalah — jika anda meneruskan juga dengan melantik (hakim) seperti yang kita semua tahu, kerosakannya... Anda tidak mahu ini menjadi legasi anda.
“Ini mesej saya kepada Anwar. Anda tidak mahu ini menjadi legasi anda, walau apa pun. Berdekad-dekad akan datang, orang akan mengingati Anwar sebagai individu yang buat pusingan-U dalam isu kehakiman.
“Sungguh rugi. Selepas sekian lama, kenapa? Ini persoalan saya: kenapa?” kata Rafizi ketika berucap dalam sebuah forum mengenai badan kehakiman, malam tadi.
Bekas menteri ekonomi itu merujuk kepada ramalannya bahawa seorang hakim kanan yang didakwa terlibat dalam campur tangan kehakiman berkemungkinan besar akan mengambil alih jawatan sebagai Ketua Hakim Negara menjelang akhir tahun ini.
Kebimbangan terhadap hakim berkenaan semakin memuncak selepas minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang didakwa dari bulan Mei telah bocor pada Sabtu.
Dokumen itu kelihatan mengukuhkan dakwaan campur tangan kehakiman yang timbul bulan lalu selepas laporan polis yang dibuat bagi pihak seorang hakim turut dibocorkan.
Pihak polis melancarkan siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA), antara lain, dengan fokus kepada bagaimana dokumen sulit itu boleh tersebar di media sosial.
Mengulas mengenai siasatan polis, Rafizi berkata dia faham pihak polis mempunyai tanggungjawab untuk menyiasat apabila menerima laporan namun tindakan itu tidak sepatutnya menjadi satu-satunya tindak balas kerajaan terhadap isu ini.
Katanya, Putrajaya bertanggungjawab untuk menjawab dan menangani semua kebimbangan lain yang telah dibangkitkan.
"Kerajaan kena bagi reaksi kepada semua soal-soal yang bersabit dengan badan kehakiman yang sudah jadi isu besar.
"Kalau salah langkah, hanya semata-mata kes OSA itu, dia akan mengundang lebih banyak reaksi negatif kepada kerajaan," katanya lagi.

