Khairy Jamaluddin menyuarakan sokongan terhadap gesaan agar kerajaan menolak Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang baru.
Khairy membangkitkan Artikel 4 Konvensyen Vienna yang membenarkan negara untuk menolak duta yang dilantik ke negara itu.
“Kini terpulang kepada Wisma Putra (Over to you Wisma Putra),” katanya di Instagram hari ini.
Perkara 4 Konvensyen Vienna menyatakan persetujuan rasmi daripada negara penerima diperlukan sebelum negara lain boleh menghantar calon dutanya.
Negara penerima juga tidak perlu menyatakan sebab jika ia tidak bersetuju dengan calon tersebut.
Pada 11 Julai lalu, Presiden AS Donald Trump mencalonkan Adams - seorang pempengaruh keturunan Australia-Amerika, penulis serta individu yang menggelarkan dirinya sebagai “Alpha Male” - sebagai duta AS ke Malaysia yang baru.
Lelaki berusia 40 tahun itu akan menggantikan Edgard Kagan, iaitu diplomat yang dilantik bekas presiden Joe Biden pada Mei 2023.
Kemungkinan tindak balas daripada Trump
Adams dikenali melalui hantaran media sosial yang mempromosikan imej peribadinya berdasarkan “simbol maskuliniti stereotaip”, selain membuat kenyataan bernada Islamofobia. Dia juga seorang penyokong Zionisme.
Khairy turut berkongsi satu hantaran lama oleh Adams, di mana dia berbangga kerana berjaya menyebabkan seorang pelayan restoran yang memakai lencana “Free Palestine” dipecat.
Jika pencalonan Adams mendapat pengesahan Dewan Senat AS, langkah Malaysia untuk menolaknya boleh membawa kesan besar dan berisiko mencetuskan kemarahan Trump.
Malaysia merupakan salah satu daripada banyak negara yang menjadi sasaran Trump dalam ‘perang tarifnya’.
Pada minggu lalu, Trump menaikkan tarif ke atas Malaysia daripada 24 peratus kepada 25 peratus.

