Polis telah melancarkan siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata siasatan memberi tumpuan kepada bagaimana maklumat dalaman tersebut boleh terdedah dan disebarkan di media sosial.
“Polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan pendedahan dan penyebaran disyaki minit mesyuarat JAC.
“Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” kata Khalid dalam kenyataan hari ini.
“Tumpuan siasatan adalah ke arah pendedahan dan penyebaran maklumat di peringkat dalaman dan juga di media sosial,“ katanya lagi, sambil menambah semua saksi yang kompeten akan dipanggil untuk membantu siasatan.
Khalid berkata siasatan dibuat di bawah Seksyen 8 OSA, berhubung kesalahan menyampaikan rahsia rasmi secara salah.
Sesiapa yang disabit bersalah di bawah akta itu boleh dihukum penjara selama satu hingga tujuh tahun. OSA juga menjadikan perbuatan menerima rahsia yang disampaikan secara tidak sah sebagai satu kesalahan jenayah.
Selain itu, polis turut menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan (pendedahan maklumat semasa menjalankan tugas) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar).
Khalid turut mengingatkan orang ramai agar tidak mendedahkan sebarang dokumen atau maklumat yang diklasifikasikan di bawah OSA.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam mendedahkan dan menyebarkan maklumat tersebut,” katanya.
Semalam, Malaysiakini melaporkan yang petikan minit mesyuarat JACyang dikatakan diadakan pada Mei lalu mungkin telah dibocorkan di media sosial.
Dokumen itu dikatakan mengandungi dakwaan sama seperti laporan polis yang bocor sebelum ini, yang dibuat bagi pihak seorang hakim kanan pada Jun lalu, yang didakwa sedang berdepan dakwaan campur tangan kehakiman.
Laporan polis itu dibuat selepas Malaysiakini menghubungi hakim tersebut pada 12 Jun lalu untuk bertanya tentang dakwaan bahawa dia campur tangan dalam mesyuarat JAC.
Minggu lalu, sembilan ahli parlimen PKR yang diketuai Rafizi Ramli menyeru agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan serta satu siasatan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas reformasi institusi parlimen dilakukan terhadap dakwaan tersebut.
Esok, Majlis Peguam Malaysia dijangka akan mengadakan perarakan bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, antaranya bagi menuntut penubuhan RCI bagi menyiasat perkara itu.

