malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP PKR persoal kesahan penswastaan parkir di 4 PBT Selangor
Diterbitkan:  Jul 13, 2025 6:02 PM
Dikemaskini: 10:02 AM
ADS

Ahli Parlimen PKR, William Leong turut menyuarakan kebimbangan berhubung rancangan kerajaan Selangor untuk menswastakan operasi parkir kenderaan di empat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dia juga berkata rancangan itu membangkitkan persoalan perundangan, terutama berhubung jika PBT ada kuasa untuk menyerahkan 50 peratus hasil kutipan kepada syarikat swasta yang dilantik, iaitu Rantaian Mesra Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Selayang itu berkata alasan yang diberikan bagi rancangan penswastaan itu ialah kutipan hasil bayaran parkir yang rendah – sekitar 30 peratus – serta penguatkuasaan yang lemah sehingga menyebabkan isu parkir berganda.

Justeru, dia menegaskan bahawa langkah yang dijangka bermula pada 1 Ogos itu mencerminkan kegagalan dalam memastikan penjawat awam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Pasti ada yang berpendapat bahawa penyelesaian yang jelas terhadap kelemahan dalam kutipan dan penguatkuasaan ialah dengan meningkatkan kecekapan, kemahiran dan kemampuan kakitangan yang terlibat dan jika perlu, menggantikan mereka dengan kakitangan yang lebih berkelayakan.

“Namun dengan melaksanakan penswastaan ini, secara tidak langsung ia mengakui bahawa ketidakcekapan kakitangan sedia ada sudah tidak boleh diperbetulkan lagi.

“Anehnya, kakitangan yang tidak cekap ini tetap ‘dianugerahkan’ dengan pekerjaan dan gaji mereka dikekalkan tanpa perlu menjalankan tugas, manakala PBT pula kehilangan separuh daripada hasil kutipan,” kata Leong dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim memaklumkan bahawa syarikat konsesi yang dilantik akan menguruskan kutipan bayaran parkir serta penguatkuasaan, dengan hasil kutipan dibahagi sama rata.

Menurutnya, syarikat konsesi akan menerima 50 peratus daripada hasil kutipan, manakala baki separuh lagi akan disalurkan kepada kerajaan negeri — 40 peratus kepada PBT dan 10 peratus kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor.

Leong menegaskan bahawa hasil kutipan sepatutnya digunakan untuk  kesejahteraan penduduk, bukan untuk memberi peluang kepada entiti swasta meraih keuntungan.

“Penswastaan kuasa penguatkuasaan terhadap kesalahan tidak sepatutnya dijadikan sumber pendapatan, kerana ia membawa risiko penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.

Leong turut mempersoalkan apakah skim penswastaan itu dilaksanakan dengan persetujuan Kementerian Pengangkutan dan jika penswastaan parkir awam dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, lot parkir awam terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, manakala PBT hanya bertanggungjawab untuk mengurus dan mengutip bayaran parkir melalui persetujuan dengan menteri di bawah Seksyen 72 APJ.

“Tiada peruntukan dalam perintah yang diwartakan yang membolehkan PBT menswastakan pengurusan parkir dan kutipan bayaran parkir,” katanya lagi.

R Nadeswaran

Terdahulu, wartawan veteran, R Nadeswaran mendedahkan bahawa Rantaian Mesra merupakan anak syarikat milik penuh MBI Selangor, dengan aktiviti utamanya disenaraikan sebagai “terlibat dalam perniagaan pengiklanan dan perkhidmatan perundingan”.

Nadeswaran turut mencadangkan agar skim penswastaan tersebut ditangguhkan terlebih dahulu, sementara menunggu siasatan rasmi oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor.

Penswastaan operasi parkir ini melibatkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Dedahkan dokumen

Sebelum ini, dua kumpulan dari Petaling Jaya menggesa kerajaan negeri untuk segera membatalkan rancangan tersebut, dan mengingatkan bahawa perjanjian selama 10 tahun itu berisiko menyebabkan dana PBT berkurangan sebanyak jutaan ringgit, melemahkan kuasa pentadbiran tempatan dan menghakis kepercayaan awam.

Mereka turut mendesak kerajaan negeri supaya mendedahkan proses pemilihan vendor serta dokumen perolehan berkaitan, termasuk kontrak yang dimeterai.

Mereka juga menuntut siasatan awam dilakukan bagi menentukan bagaimana urus niaga penswastaan ini berlaku, sambil menegaskan bahawa ia turut melibatkan soal penghormatan terhadap kuasa PBT serta jaminan pengurusan sumber dan kewangan yang bertanggungjawab serta telus.

Kumpulan tersebut, iaitu NGO kelestarian alam sekitar, Persatuan Petaling Jaya Lestari dan PJ Sejahtera, iaitu gabungan persatuan penduduk serta pertubuhan masyarakat sivil — telah memperincikan kebimbangan mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan tersebut turut merujuk isu-isu yang sebelum ini dibangkitkan oleh Nadeswaran, Muda, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung, dan bekas Adun Selangor, Ronnie Liu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen