Pemuda DAP Kepong membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat pihak di sebalik apa yang didakwa sebagai kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Dalam laporan yang dibuat di balai polis Kepong hari ini, Ketua Pemuda DAP Kepong Jefferson Chia meminta polis menyiasat jika dokumen sulit tersebut memang telah dibocorkan di internet.
“Jika (dokumen yang bocor itu) sahih, polis mesti mengenal pasti individu yang membocorkan dokumen sulit berkenaan dan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap mereka,” kata Chia.
Ketika dihubungi, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mempertahankan laporan tersebut dan menegaskan bahawa semua dakwaan yang melibatkan badan kehakiman, termasuk kebocoran dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), mesti disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.
Lim berkata siasatan itu penting bagi menjaga integriti dan keutuhan institusi kehakiman Malaysia.
“Jika tiada tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab (atas dakwaan kebocoran itu), ia mewujudkan satu duluan bahaya di mana perbincangan tertutup dan dokumen sulit, termasuk yang berkaitan dengan keselamatan negara, tidak lagi dapat dilindungi,” katanya.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dia tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat JAC yang tular di media sosial sejak semalam.
Jika dokumen itu sahih dan terperingkat, kata Fahmi, maka ia tertakluk di bawah OSA dan perlu dikendalikan secara “berwaspada”.
“Sekiranya ia sahih dan berstatus rahsia, terutama rakan-rakan media saya minta untuk berhati-hati jangan kita sebarkan kalau sesuatu dokumen itu terperingkat, maka Akta Rahsia Rasmi terpakai,” katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya lagi, isu tersebut berkemungkinan besar akan dibawa ke perhatian Jemaah Menteri, dan siasatan kini berada di bawah tanggungjawab pihak polis.
Semalam, Malaysiakini melaporkan yang petikan minit mesyuarat JAC yang dikatakan diadakan pada Mei lalu mungkin telah dibocorkan di media sosial.
Minit mesyuarat sulit itu dikatakan mengandungi dakwaan sama seperti laporan polis yang bocor sebelum ini, yang dibuat bagi pihak seorang hakim kanan pada Jun lalu, yang didakwa sedang berdepan dakwaan campur tangan kehakiman.
Laporan polis itu dibuat selepas Malaysiakinimenghubungi hakim tersebut pada 12 Jun lalu untuk bertanya tentang dakwaan bahawa dia campur tangan dalam mesyuarat JAC.
Minggu lalu, sembilan ahli parlimen PKR yang diketuai Rafizi Ramli menyeru agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan serta satu siasatan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas reformasi institusi parlimen dilakukan terhadap dakwaan tersebut.
Esok, Majlis Peguam Malaysia dijangka akan mengadakan perarakan bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, antaranya bagi menuntut penubuhan RCI bagi menyiasat perkara itu.

