Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada sahih atau tidak dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tersebar sejak semalam.
Menurutnya, sekiranya dokumen itu sahih dan terperingkat, ia diklafikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi.
“Saya difahamkan ada laporan polis dibuat. Saya tidak boleh sahkan sama ada dokumen yang tersebar itu sahih atau pun tidak.
“Sekiranya ia dokumen yang sahih dan terperingkat, diklafikasikan terpakai di bawah Akta Rahsia Rasmi, jadi kita perlu berwaspada.
“Sekiranya ia sahih dan berstatus rahsia, terutama rakan-rakan media saya minta untuk berhati-hati jangan kita sebarkan kalau sesuatu dokumen itu terperingkat, maka Akta Rahsia Rasmi terpakai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Festival AI yang berlangsung di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri.
Ketegangan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) terus memuncak apabila pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil menggesa penjelasan segera daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Laporan Malaysiakini semalam mendedahkan petikan minit mesyuarat JAC dari bulan Mei – yang merupakan dokumen sulit – telah tersebar di media sosial. Minit tersebut dipercayai mengandungi dakwaan sama seperti laporan polis yang bocor dan dibuat mewakili seorang hakim kanan pada bulan Jun lalu.
Laporan itu dibuat selepas Malaysiakini menghubungi hakim tersebut pada 12 Jun, meminta ulasan berkenaan dakwaan campur tangan kehakiman dalam mesyuarat JAC yang berlangsung sebulan sebelumnya.
Dakwaan terhadap hakim kanan tersebut, serta kebimbangan berhubung kemungkinan campur tangan dalam proses pelantikan hakim selepas persaraan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, telah mencetuskan kemarahan dan kebimbangan meluas dalam kalangan masyarakat serta komuniti undang-undang.
Minggu lalu, seramai sembilan ahli parlimen PKR diketuai oleh Rafizi Ramli tampil menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) serta tindakan segera oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) untuk menyiasat dakwaan serius berkenaan.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, turut menyuarakan kebimbangan, dengan menegaskan "petikan dokumen sulit yang didakwa bocor itu amat membimbangkan dan membawa implikasi serius terhadap integriti badan kehakiman serta kedudukan perdana menteri.”
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa isu tersebut berkemungkinan besar akan dibawa ke perhatian Jemaah Menteri, dan siasatan kini berada di bawah tanggungjawab pihak polis.
“Kebiasaannya Perdana Menteri sangat prihatin tentang apa-apa perkara yang berbangkit di khalayak umum, ada kemungkinan akan dibincangkan.”
“Untuk siasatan kita serah kepada pihak polis. Setakat ini saya tidak ada maklumat (lanjut). Saya tidak boleh sahkan dokumen itu minit mesyuarat atau pun tidak.”
Mengulas lanjut mengenai tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap penyebaran dokumen terbabit di media sosial, Fahmi menjelaskan bahawa keputusan akhir untuk menurunkan kandungan terletak pada platform itu sendiri.
“Jadi SKMM boleh meminta sekiranya ada aduan, tapi akhirnya yang menurunkan itu adalah platform tersebut sekiranya mereka merasakan ia adalah satu kesalahan.”
“Tapi setakat ini SKMM belum memberikan kemas kini tentang isu tersebut.”

