malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Petisyen Rafizi suam-suam kuku, rakyat sokong Anwar'
ADS

Maklum balas yang dilihat kurang memberangsangkan terhadap petisyen dalam talian oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bagi mempertahankan integriti badan kehakiman menjadi indikator jelas sentimen rakyat, menurut bekas menteri undang-undang, Nazri Abdul Aziz.

“Ini bermakna rakyat menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isu yang kononnya timbul ini sebenarnya tidak penting.

“Saya rasa itu satu kesimpulan yang adil,” kata Nazri kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Petisyen yang dilancarkan Rafizi melalui platform media sosialnya pada hari Jumaat lalu bertujuan menunjukkan sokongan awam terhadap badan kehakiman yang bebas dan berintegriti, di samping menggerakkan tekanan masyarakat untuk mempertahankan pemisahan kuasa serta kedaulatan undang-undang.

Sehingga waktu siaran artikel, petisyen tersebut hanya menarik respons sederhana, dengan 1,935 tandatangan yang disahkan untuk versi Bahasa Inggeris dan 5,393 untuk salinan Bahasa Malaysia.

Pada Isnin, Rafizi bersama lapan Ahli Parlimen PKR yang lain menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Reformasi Institusi menyiasat dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.

Mereka menyeru agar RCI menyiasat dakwaan bahawa kerajaan telah mengabaikan cadangan daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sebelum persaraan bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Dalam pada itu, Nazri turut membidas kenyataan bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan, yang menegurnya kerana mendakwa ucapan Tengku Maimun sebelum ini mengenai penghapusan peranan perdana menteri dalam pelantikan kehakiman telah menjejaskan eksekutif.

Nazri mendakwa Ambiga silap apabila cuba “mengajarnya” mengenai perkara tersebut dan menjelaskan dia hanya mahu menekankan pentingnya badan kehakiman dan eksekutif tidak saling bermusuhan.

“Saya ada lebih banyak pengalaman daripada Ambiga.

“Saya pernah bekerjasama dengan tujuh bekas ketua hakim (semasa saya menjadi menteri) dan kami tidak pernah ada masalah kerana kami saling menyokong — kami tahu pentingnya eksekutif tidak menyerang badan kehakiman dan sebaliknya.

“Ambiga bukan sesiapa. Saya ada 14 tahun pengalaman... Saya tahu cara untuk bekerjasama dengan badan kehakiman,” tambahnya.

Terdahulu, Ambiga telah menolak tanggapan bahawa masa depan seorang ketua hakim sepatutnya bergantung kepada sama ada perdana menteri terasa hati atau tidak dengan kenyataan mereka, sambil memberi amaran bahawa pandangan sedemikian membahayakan kebebasan badan kehakiman.

Dia berkata demikian sebagai respons terhadap Nazri, yang dilaporkan mengaitkan keputusan tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun dengan ucapannya di Malta pada April lalu, yang menyatakan penyingkiran peranan perdana menteri dalam pelantikan kehakiman boleh membantu menghapuskan persepsi campur tangan politik dalam badan kehakiman.

Ketika itu, Tengku Maimun turut mendedahkan terdapat cadangan untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 dan Perlembagaan Persekutuan bagi menghapuskan peranan perdana menteri dalam proses tersebut.

Malaysiakini juga melaporkan bahawa pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya, telah menggesa Anwar supaya memberi respon terhadap dakwaan Nazri tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen