malaysiakini logo
story-image
ADS

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir, Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Chan Foong Hin, telah mengulas secara terperinci berkenaan rundingan kerusi yang rumit serta kemungkinan wujudnya "pakatan separa" dalam PRN kali ini.

Dia berkata walaupun Pakatan Harapan (PH) telah mengadakan beberapa siri rundingan rasmi dengan Barisan Nasional (BN), perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih berada di peringkat tidak rasmi.

Menurutnya, Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, cenderung untuk bekerjasama dengan PH dalam PRN akan datang. Namun, terdapat satu puak dalam GRS yang mendesak untuk bergerak secara solo dengan meletakkan calon di semua kerusi.

Kelompok ini termasuk Parti Maju Sabah (SAPP), Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Pandikar Amin Mulia serta Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan.

“Pendekatan mereka ‘rumah kita, kita jaga’. Mereka merasakan bahawa memandangkan GRS parti pemerintah di Sabah dan ketua menterinya juga dari GRS, maka mereka perlu bertanding di semua kerusi,” kata Chan .

Menurutnya, walaupun PH dan GRS mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi, sebahagian parti komponen GRS mungkin tetap mahu bertanding menggunakan logo masing-masing.

“Kemungkinan ini tidak boleh ditolak sepenuhnya,” katanya pada satu episod podcast berbahasa Cina bersama Malaysiakini, yang disiarkan di YouTube, Spotify, dan Apple Podcasts semalam.

Rundingan kerusi rumit

Chan yang juga timbalan menteri perladangan dan komoditi berkata laporan mengenai Kitingan yang mengancam untuk menarik diri dari GRS berpunca daripada konteks politik ini.

Pada 3 Julai, Timbalan Ketua Penerangan Star, Ardino Diris menjelaskan STAR kekal bersama GRS. Kenyataan Kitingan hanyalah menyatakan dia tidak akan menerima peruntukan kerusi yang terhad kepada lapan yang dimiliki Star ketika ini.

Menurut Chan, rundingan kerusi antara PH dan GRS setakat ini hanya melibatkan pertemuan tidak rasmi dengan pemimpin individu dalam GRS.

Dia berkata landskap politik Sabah telah berubah selepas Pilihan Raya Umum 2022 menyebabkan rundingan PRN kali ini menjadi lebih rumit.

“Sebelum ini, rundingan lebih mudah. PH hanya ada tiga parti di Sabah. Apabila Upko menyertai, jadi empat parti – maka rundingan hanya dalaman.

“Tapi sekarang, kita berunding dengan BN, dan GRS juga mendekati kita… Semua rundingan ini berlaku serentak,” katanya.

Empat blok politik Sabah

Kini, terdapat empat blok politik utama di Sabah: GRS, BN, PH, dan Warisan. Walaupun keempat-empat blok ini merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan, kedudukan mereka di peringkat negeri berbeza.

GRS dan PH membentuk kerajaan negeri manakala BN dan Warisan berada di blok pembangkang – meskipun beberapa Adun BN menyokong kerajaan Hajiji.

BN dan GRS kedua-duanya sedang berusaha menjalinkan kerjasama pilihan raya dengan PH manakala Warisan dijangka bertanding secara bersendirian.

Walau begitu, Chan berkata DAP tidak berniat untuk ‘berlawan habis-habisan’ dengan Warisan dan merancang untuk tidak meletakkan calon di beberapa kawasan, termasuk tiga kerusi DUN di Semporna – kubu kuat Presiden Warisan, Shafie Apdal.

Namun, dia menegaskan terdapat kerusi yang tidak boleh dikompromi, seperti Sri Tanjong dan Elopura – kedua-duanya dimenangi DAP pada PRN lalu.

Adun Sri Tanjong (Justin Wong) dan Elopura (Calvin Chong) telah keluar parti pada Januari 2022 dan menyertai Warisan dua bulan kemudian.

Chan percaya sebagai rakan dalam kerajaan Madani, DAP dan Warisan tidak sepatutnya saling bermusuhan walaupun bersaing dalam PRN.

Katanya, pada PRN Sabah 2020, Warisan dan PH bertanding bersama di bawah nama “Warisan Plus”, dengan calon DAP dan Amanah menggunakan logo Warisan, manakala PKR dan UPKO kekal dengan logo sendiri.

Kali ini, Chan berkata PH akan bertanding di bawah satu logo bersama.

“Sudah tentu Kitingan telah menetapkan syarat – jika kita mahu bekerjasama dengan GRS, kita mesti guna logo GRS.

“Tapi setakat ini, memandangkan tiada mesyuarat rasmi antara PH dan GRS, perkara ini belum dibincangkan,” tambahnya.

PRN dijangka September

Hajiji, yang juga ketua menteri Sabah mengesahkan pada 8 Julai bahawa sidang terakhir DUN Sabah bagi penggal ini telah selesai. Namun, dia tidak mendedahkan bila DUN akan dibubarkan.

Mengikut undang-undang, DUN semasa akan terbubar secara automatik pada 11 November.

Chan berkata komuniti politik menjangkakan Hajiji akan mengumumkan pembubaran selepas kongres Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) akhir bulan ini.

Memandangkan Dewan Rakyat akan bersidang dari 21 Julai hingga akhir Ogos, PRN Sabah berkemungkinan besar diadakan pada bulan September, agar parti-parti mempunyai ruang berkempen secukupnya.

“Kecuali GRS mahu elak kehadiran ramai ‘orang luar’ seperti jentera Umno, mungkin mereka akan adakan PRN semasa parlimen masih bersidang. Itu sukar dipastikan.

“Tapi setakat ini, cakap-cakap paling kuat pembubaran pada akhir Julai atau awal Ogos, dan PRN pada September,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen