malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PN tuntut Anwar jelaskan dakwaan minit JAC bocor
Diterbitkan:  Jul 13, 2025 9:39 AM
Dikemaskini: 1:39 AM
ADS

Pemimpin pembangkang mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), sambil memberi amaran kegagalan menjelaskan dakwaan campur tangan kehakiman boleh menyebabkan dia kehilangan jawatan.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan petikan dokumen sulit yang didakwa bocor itu amat membimbangkan dan membawa implikasi serius terhadap integriti badan kehakiman serta kedudukan perdana menteri.

"Perdana Menteri didesak untuk segera tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat,” kata ahli parlimen Pasir Mas pada satu hantaran di Facebook hari ini.

“Sekiranya dakwaan ini (kebocoran dokumen) benar dan tidak dapat disangkal dengan fakta yang tuntas, maka perdana menteri wajar meletakkan jawatan serta-merta.

"Kedudukan beliau tidak lagi selari dengan prinsip integriti, amanah dan keluhuran Perlembagaan yang menjadi asas sistem pentadbiran negara,” katanya lagi.

Fadhli turut menggesa seluruh institusi kehakiman, khususnya para hakim kanan agar tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat sistem keadilan.

“Keadilan apabila ditegakkan kelak, tidak akan mengenal darjat atau kedudukan sesiapa.

"Mana-mana pihak yang terlibat dalam cubaan mencemar institusi kehakiman akan tetap diadili,” tegasnya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan satu petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa dari bulan Mei telah tersebar di media sosial.

Minit tersebut yang merupakan dokumen sulit, dilaporkan mengandungi dakwaan yang serupa dengan laporan polis yang dibocorkan sebelum ini dan dibuat bagi pihak seorang hakim kanan pada bulan Jun.

Laporan polis itu dibuat selepas Malaysiakini menghubungi hakim berkenaan pada 12 Jun bagi mendapatkan komen berhubung dakwaan campur tangan kehakiman dalam mesyuarat JAC bulan sebelumnya.

Dakwaan terhadap hakim kanan itu serta kebimbangan mengenai campur tangan dalam pelantikan hakim selepas persaraan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat telah mencetuskan kemarahan meluas.

Minggu lalu, sembilan ahli parlimen PKR yang diketuai Rafizi Ramli menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) menyiasat dakwaan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata jika kandungan dokumen JAC yang bocor itu sahih maka krisis keyakinan terhadap kepimpinan Anwar umpama “sel barah” yang menjangkiti institusi kehakiman — yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik dan eksekutif.

"Jika dokumen ini benar, maka dengan tercemarnya institusi kehakiman, rakyat kini tidak lagi mempunyai tempat untuk bergantung kepada keadilan yang bebas dan berkecuali.

"Amat wajar Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dengan serta-merta.

“Anwar telah gagal mempertahankan kebebasan institusi dan kini menjadi punca kepada krisis keyakinan rakyat terhadap seluruh sistem negara,” dakwanya pada satu hantaran di Facebook malam tadi.

Dia turut menggesa agar siasatan bebas dan telus dijalankan terhadap kandungan minit mesyuarat JAC yang didakwa itu dan sekali lagi mengajak rakyat menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.

“Kita semua sebagai rakyat Malaysia bertanggung jawab menghentikan sel barah yang mengganas dan menjangkiti seluruh sistem dalam negara, dan menyelamatkan negara yang kita kasihi ini,” katanya.

Badan Peguam Malaysia juga dijangka akan mengadakan perarakan pada esok hari (Isnin, 14 Julai) untuk menyerahkan memorandum kepada perdana menteri, yang antara lain menuntut agar RCI ditubuhkan.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara menolak kebimbangan berhubung badan kehakiman, dengan menegaskan dakwaan terhadap hakim kanan itu hanyalah spekulasi semata-mata mengenai “ketidakteraturan prosedur”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!