malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Ayuh bangkit': Pairin nyalakan semula semangat 1985 menjelang PRN Sabah
ADS

Api perjuangan dalam diri bekas Ketua Menteri Sabah, Joseph Pairin Kitingan, kini seolah-olah kembali menyala.

Pada usia 84 tahun, bekas presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang sekian lama dikenali sebagai negarawan veteran yang tenang itu, mengingatkan rakyat Sabah agar tidak melepaskan genggaman terhadap negeri mereka.

“Perkara paling penting yang mesti diputuskan oleh rakyat Sabah dalam pilihan raya akan datang ialah memastikan kita mempunyai kerajaan yang berasaskan parti tempatan,” kata Pairin dengan wajah yang jelas menunjukkan rasa kecewa.

“Bukan parti dari Malaya (parti berpangkalan di semenanjung),” tambahnya.

Pairin berkata demikian kepada sekumpulan wartawan di luar Konvensyen Bersama PBS dan Star yang berlangsung di Hongkod Koisaan, Penampang semalam.

Tiada pentas, tiada ucapan rasmi — hanya perbualan jujur yang disulami rasa bimbang, apabila dia mengatakan, “kamu (media) tidak pernah siarkan” apa yang saya katakan.

Kenyataan itu hadir pada waktu yang sangat kritikal, baik untuk partinya mahupun untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

GRS, gabungan kerajaan negeri ketika ini, sedang mempertimbangkan untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri akan datang tanpa kerjasama dengan parti dari Semenanjung.

Pairin bukan asing dengan situasi itu.

Pada tahun 1985, hanya seminggu selepas menubuhkan PBS, dia menggemparkan negara apabila berjaya memimpin partinya menewaskan kerajaan negeri yang diterajui Berjaya.

Ia menjadi detik bersejarah, bukan sahaja bagi kepimpinan Kadazandusun, tetapi juga sebagai simbol penegasan Sabah terhadap hak dan autonomi politik.

Namun, selepas kemenangan itu, keadaan menjadi tegang. Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat sementara apabila insiden keganasan politik berlaku di jalanan.

Namun Pairin tetap bertahan. Keteguhan pendiriannya menjadikan PBS simbol penentangan dan, buat seketika, merupakan lambang pemerintahan tempatan yang bebas daripada cengkaman Semenanjung.

Namun kuasa itu tidak bertahan lama. Pada tahun 1994, selepas menang tipis dalam pilihan raya negeri, PBS kehilangan kuasa apabila beberapa Adun daripada parti itu melompat menyertai BN.

Banyak pihak di Sabah menyalahkan gabungan kerajaan Persekutuan kerana didakwa merancang kejatuhan tersebut. Ia juga menjadi titik permulaan kepada 24 tahun pemerintahan BN di negeri itu.

Menjelang 2002, PBS menyertai semula BN — satu keputusan yang dilihat sesetengah pihak sebagai langkah pragmatik, namun bagi yang lain pula sebagai penyerahan prinsip.

Ketika itu, pengkritik mula melabel PBS yang dahulunya lantang sebagai "harimau tak bertaring". Seiring masa berlalu, nada Pairin juga menjadi semakin berhati-hati.

Namun perkembangan mutakhir nampaknya telah membangkitkan kembali semangat dalam diri bekas ketua menteri itu.

Ketika berucap kepada golongan muda Sabah — ramai antara mereka bakal mengundi buat kali pertama tahun ini — Pairin menyeru agar mereka “bangkit”.

“Bangkitlah. Ini tanah air kamu. Jangan biarkan orang lain tentukan masa depan kamu sedangkan kamu hanya diam. Bangkitlah demi Sabah,” katanya.

Meskipun secara rasmi telah bersara daripada dunia politik, Pairin masih memiliki pengaruh yang besar sebagai Huguan Siou — pemimpin tertinggi Kadazandusun.

Ia merupakan gelaran seumur hidup yang diberikan kepada seorang individu yang dipercayai untuk menjaga identiti, maruah, dan hak masyarakat tersebut.

Peranan itu tidak membawa kuasa politik, namun memiliki pengaruh moral yang besar, terutamanya dalam isu tanah, autonomi, dan pemeliharaan budaya.

Ucapan Pairin mencerminkan kekecewaan mendalam dalam kalangan pemimpin tempatan yang merasakan Sabah telah diketepikan dalam proses membuat keputusan antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Sementara ahli politik muda dalam GRS sibuk dengan agihan kerusi dan strategi penjenamaan, kata-kata Pairin menggambarkan sesuatu yang lebih asas sedang dipertaruhkan.

PBS dan Star — yang diterajui oleh adik Pairin, Jeffrey Kitingan — antara yang paling lantang menyokong agar GRS bertanding secara solo dalam pilihan raya akan datang.

Namun Pengerusi GRS, Hajiji Noor, masih dilihat mempertimbangkan kemungkinan bekerjasama dengan PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen