malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Waktu kerja 42 jam: Sathia mahu KKM 'lihat lebih jauh'
ADS

Seorang pemimpin PKR berkata keputusan kerajaan mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu bagi petugas kesihatan yang bekerja secara syif hanya permulaan dalam mencari penyelesaian isu sumber manusia sektor kesihatan dalam negara.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ketua PKR Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata walaupun menyambut keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu, dia berpendapat ia masih belum mampu menangani isu teras seperti gaji dan kualiti hidup kakitangan kerajaan dalam sektor kesihatan.

"Sebagai seorang doktor, saya faham jumlah jam bekerja penting tetapi saya harus tekankan, bidang perubatan tidak sama seperti profesion lain.

“Kami tidak boleh ‘berhenti kerja’ begitu saja apabila masa tamat. Kami tidak boleh meninggalkan pesakit di atas meja operasi atau meninggalkan kes kritikal di pertengahan jalan.

"Semangat dan rasa tanggungjawab kami mengatasi konsep jam kerja tetap. Saya menyeru KKM untuk melihat lebih jauh daripada sekadar jam kerja dan mengutamakan kesejahteraan menyeluruh profesional perubatan termasuk struktur gaji yang lebih baik, pembangunan kerjaya, insentif, dan reformasi tempat kerja.

"Jangan hanya mengurangkan jam kerja. Mari bina sistem kesihatan yang membangun, menyokong, dan mengekalkan tenaga terbaiknya.," katanya.

Kerajaan semalam mengumumkan bersetuju mengecualikan lima sektor penjagaan kesihatan daripada bekerja 45 jam seminggu.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di jabatan kecemasan, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan akan terus bekerja 42 jam seminggu.

Pengecualian itu akan melibatkan 82,637 pekerja kesihatan.

Susulannya, Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) Saaidah Athman menyambut baik langkah tersebut dan menyifatkannya sebagai manifestasi keprihatinan kepimpinan negara terhadap kebajikan penjawat awam dalam sektor kesihatan.

Sathia yang juga pengasas Kumpulan SP Care juga berkata kerajaan perlu menghentikan penghijrahan tenaga mahir negara jika ingin memelihara masa depan kesihatan Malaysia.

"Ramai bakat perubatan terbaik kita berpindah ke negara jiran bukan kerana mereka mahu, tetapi kerana mereka ditawarkan gaji yang lebih baik, laluan kerjaya yang lebih terstruktur, dan persekitaran kerja yang lebih sihat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen