malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Desakan agar GRS bertanding solo makin kuat
ADS

Para perwakilan pada konvensyen bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) hari ini menyampaikan mesej yang jelas kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) — bahawa gabungan itu harus bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri akan datang.

Setiap kali Pengerusi GRS, Hajiji Noor menyebut mengenai GRS, Dewan Hongkod Koisaan di Penampang bergema dengan laungan “solo” daripada kira-kira 5,000 ahli PBS dan Star yang hadir.

Dalam ucapannya sebelum itu, Presiden Star, Jeffrey Kitingan menggambarkan pilihan raya negeri akan datang sebagai detik penentu masa depan politik Sabah, dengan menyatakan ia sebagai satu referendum sama ada negeri itu harus terus bergantung kepada parti-parti dari Semenanjung atau menegaskan halatuju sendiri.

“Anggaplah pilihan raya ini sebagai satu referendum — sama ada kita mahu terus diperintah oleh orang luar atau kita perintah diri kita sendiri,” katanya.

Dalam ucapannya, Kitingan banyak menyentuh perjuangan Sabah sejak sekian lama untuk mendapatkan autonomi, dan membangkitkan sejarah berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terutamanya isu hak Sabah untuk mendapat 40 peratus daripada hasil bersih persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita berdepan dengan ketidakadilan. Mereka abaikan hak kita selama puluhan tahun — 48 tahun. Sebab agenda mereka adalah untuk mengambil alih dan menjadikan kita seperti tanah jajahan,” katanya.

Dia mengakhiri ucapannya dengan bertanya “Patutkah GRS bertanding solo?” dan disambut dengan laungan lantang “Solo!” daripada para hadirin.

Sementara itu, Pemangku Presiden PBS, Joachim Gunsalam berkata desakan untuk bertanding solo tidak sepatutnya sampai ke tahap PBS dan Star bergerak sendirian tanpa GRS.

“Walaupun kita bekerjasama, masih ada suara yang mahu PBS dan STAR bertanding solo. Saya rasa itu seperti bunuh diri politik untuk kita. Itu saya cakap dari hati. Kita mungkin boleh jadi ‘kingmaker’, tapi tidak akan dapat bentuk kerajaan. Sekarang kita berada di landasan terbaik bersama GRS.”

“Buat masa ini, kita perlu bergantung kepada GRS. Kalau kita berpecah dan GRS kalah dalam PRN akan datang, saya boleh beritahu — parti dari seberang laut itu akan lebih menguasai kita,” katanya, merujuk kepada gabungan dari Semenanjung seperti PH, BN dan PN.

Joachim turut mengingatkan agar tidak berlaku perebutan kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang, dan menyeru pendekatan yang matang dalam rundingan agihan kerusi.

“Ini bukan masa untuk bergaduh tentang kerusi. Paling penting dalam PRN kali ini ialah pastikan GRS menang besar,” katanya.

Hajiji elak ulas isu tanding solo

Namun begitu, walaupun mendapat sokongan kuat, Hajiji tidak menjawab secara langsung desakan untuk GRS bertanding solo dalam ucapannya di konvensyen tersebut.

Sebaliknya, dia menekankan perpaduan dalam gabungan itu dan mengingatkan mengenai cubaan untuk menggugat kerajaan negeri.

Dia juga menggambarkan GRS sebagai sebuah “rumah” yang mesti dijaga.

“GRS ialah rumah kita. Kalau kita sendiri tak jaga rumah kita, siapa lagi?” katanya.

Slogan “Rumah kita, kita jaga” diulang dalam ucapannya, namun Hajiji tidak menyatakan sebarang perubahan strategi.

Ketika ditanya wartawan sebaik sahaja keluar dari dewan, Hajiji sekali lagi mengelak isu bergerak solo dan menyifatkan laungan “solo” itu sebagai tanda perpaduan dalam GRS.

“Itu petanda kuat perpaduan dalam GRS, dan semangat kenegerian sangat tinggi menjelang PRN,” katanya, merujuk kepada sentimen “Sabah untuk Orang Sabah”.

Ditanya sama ada GRS akan bertanding bersendirian, dia menjawab, “Kita akan putuskan dalam mesyuarat — dalam Majlis Tertinggi GRS.”

Hajiji sebelum ini pernah memberi bayangan bahawa dia masih mempertimbangkan kemungkinan kerjasama GRS dengan PH dalam pilihan raya akan datang.

Namun, kerjasama sedemikian berpotensi mencetuskan konflik, memandangkan saingan utama GRS di Sabah, BN, turut mahu bekerjasama dengan PH tetapi tanpa penyertaan GRS.

Setakat ini, daripada lapan parti dalam GRS, PBS, Star dan Usno merupakan penyokong utama cadangan agar GRS bertanding solo.

Daripada 42 kerusi DUN yang kini dimiliki GRS, 13 daripadanya milik PBS (7) dan Star (6). Kedua-dua parti ini memainkan peranan penting di kawasan majoriti Kadazandusun Murut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen