Ketika kemelut dalam badan kehakiman semakin hangat diperkatakan, beberapa peguam menegaskan bahawa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi mempertahankan kebebasan badan itu.
Bercakap kepada Malaysiakini, peguam Charles Hector Fernandez berkata sudah tiba masanya kuasa eksekutif, terutamanya perdana menteri, tidak lagi campur tangan dalam proses pemilihan hakim.
“JAC ditubuhkan dengan fungsi yang jelas - mereka memilih dan menapis calon hakim, serta menentukan siapa yang akan dinaikkan pangkat - kemudian perdana menteri dijangka mengikut cadangan mereka.
“Jika perdana menteri patuh kepada cadangan itu, maka mungkin tiada keperluan mendesak untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kini, nampaknya Anwar tidak mengikut cadangan JAC,” katanya.

Sebelum ini sembilan ahli parlimen kerajaan menyuarakan kebimbangan berhubung isu pelantikan kehakiman dan dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.
Namun Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata perdana menteri boleh mengabaikan cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) demi “melindungi” badan kehakiman.
Pada 10 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa peruntukan undang-undang berkenaan pelantikan hakim oleh baginda atas nasihat perdana menteri “jelas mencerminkan prinsip semak dan imbang”.
Baginda juga bertitah agar pelantikan hakim mahkamah atasan tidak dipolitikkan.
Bebas dari politik
Sementara itu, peguam Nizam Bashir turut menyuarakan pandangan bahawa institusi kehakiman perlu bebas daripada campur tangan politik.

“Yang dimahukan ialah apabila satu keputusan mahkamah dibuat, ia harus disampaikan tanpa wujudnya persepsi atau kebimbangan bahawa keputusan tersebut memihak kepada pihak yang melantik,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, perkara itu boleh dielakkan jika kuasa eksekutif tidak diberi kuasa undang-undang dalam pelantikan hakim, dan menggesa agar Akta JAC dipinda untuk menterjemahkan perkara tersebut.
“Apa pun keadaannya, kerajaan kini perlu memenuhi standard yang lebih tinggi kerana mereka dipilih atas dasar platform reformasi,” tambahnya.
Berdasarkan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri tidak terikat untuk mengikut cadangan JAC. Pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.
Seksyen 5 Akta JAC juga memperuntukkan kuasa kepada perdana menteri untuk melantik lima daripada sembilan anggota suruhanjaya tersebut.
JAC masih diperlukan
Sementara itu, peguam Kokila Vaani Vadiveloo berkata kuasa perdana menteri dalam pelantikan hakim menjadikan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) seolah-olah tiada kuasa.
Namun, dia tetap berpendapat bahawa JAC masih penting.
“Walaupun JAC tiada kuasa mengikat, ia tetap memainkan peranan penting. Ia membantu menjadikan proses pelantikan lebih telus dan bertindak sebagai tapisan untuk memastikan hanya calon yang layak dipertimbangkan.
“Paling penting, ia mewujudkan rekod bagaimana keputusan dibuat.
“Jika perdana menteri menolak nama tertentu, masyarakat dan komuniti undang-undang berhak bertanya kenapa. Akauntabiliti seperti ini penting untuk melindungi badan kehakiman daripada dipolitikkan,” katanya kepada Malaysiakini.
Baru-baru ini, Majlis Peguam mengumumkan akan mengadakan perarakan pada 14 Julai bagi menuntut kebebasan kehakiman susulan kebimbangan mengenai isu itu.
Presidennya, Ezri Abdul Wahab berkata acara yang dinamakan Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman itu bertujuan menyampaikan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri yang mengandungi tuntutan.
Kebimbangan timbul selepas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, dan Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, bersara awal bulan ini tanpa pengganti diumumkan.
Media kemudian melaporkan bahawa Pemangku Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim, telah memanggil mesyuarat tergempar Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Sekretariat Pertahan Badan Kehakiman melahirkan kebimbangan berhubung perkara itu dan mendakwa tindakan itu melanggar Seksyen 13 Akta JAC 2009 yang menetapkan notis 10 hari perlu diberikan sebelum mesyuarat diadakan.

