malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pertemuan PM-ahli parlimen BN untuk bincang dasar, isu semasa
Diterbitkan:  Jul 12, 2025 5:13 PM
Dikemaskini: 9:13 AM
ADS

Pertemuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan ahli parlimen BN malam tadi adalah bagi membincangkan dasar kerajaan dan memperjelaskan isu semasa yang berbangkit, kata Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir.

Katanya pertemuan sedemikian memang kerap diadakan memandangkan BN juga merupakan antara parti gabungan dalam kerajaan perpaduan.

“Oleh kerana BN menjadi sebahagian kerajaan perpaduan, maka hubungan yang begini sering kali diadakan, termasuk mesyuarat secara berkala dengan pimpinan utama… bukan sahaja dengan BN tapi dengan parti komponen yang lain juga.

“Kita berbincang dan perdana menteri sampaikan penjelasan dasar kerajaan dan lain-lain lagi,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Jeli di Bukit Nangka, Jeli hari ini.

Semalam, Anwar mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen BN di Seri Perdana, Putrajaya.

Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu dipercayai turut membincangkan mengenai sidang parlimen yang akan datang.

Sementara itu, ketika berucap pada mesyuarat tersebut, Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno meminta ahli parti di Kelantan supaya terus membina keyakinan diri serta meneguhkan semangat dalam meneruskan perjuangan parti itu di negeri ini.

“Semangat tidak pernah luntur dalam perjuangan harus dimiliki oleh semua ahli Umno di Kelantan, sebagaimana semangat yang ditunjukkan ketika Pilihan Raya Kecil Nenggiri yang dimenangi BN pada tahun lalu.

“Kita gerakkan jentera, turun bantu dan semua tidak jangka kita akan menang ketika itu.

“Rahsianya kerana kekuatan dan kesungguhan yang ada dalam jiwa ahli Umno Kelantan semua,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen