PAS menggesa polis memudahkan Himpunan Turun Anwar akan datang berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyatakan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 sebagai tidak berperlembagaan.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu menunjukkan peranan pihak berkuasa ialah memudahkan perhimpunan awam dilaksanakan sebagai hak yang termaktub dalam perlembagaan.
Katanya perlembagaan negara menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
Justeru, katanya, PAS meminta polis memberi kerjasama dan membantu penganjur mengadakan himpunan tersebut.
“Tugas polis sepatutnya kawal perhimpunan aman supaya tak menyusahkan atau menyulitkan.
“Peranan pihak polis bukan untuk menyusahkan tapi memudahkan perhimpunan awam… itu kata hakim,” katanya pada sidang media di Bangi, Selangor hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut menyatakan keyakinannya bahawa perhimpunan – yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada 26 Julai ini dan menyasarkan untuk menarik kira-kira 50,000 peserta – akan berjalan dengan aman.
Kata Takiyuddin penganjur perhimpunan menyediakan pusat pemeriksaan di pelbagai lokasi di pusat bandar untuk peserta berhimpun sebelum mereka memulakan perarakan ke Dataran Merdeka.
Pemuda PAS pada asalnya merancang perhimpunan itu untuk membantah Rang Undang-undang Akta Pembaharuan Bandar (APB) yang dicadangkan kerajaan namun menukar tema kepada gesaan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.
Sementara itu, Takiyuddin berkata satu lagi perhimpunan akan diadakan pada 17 Julai ini di Alor Setar, Kedah iaitu Himpunan Mandat Negarawan Demi Tanah Air Tercinta yang dijangka turut menampilkan penasihat empat negeri PN, Dr Mahathir Mohamad.
Turut disenaraikan ialah seorang lagi bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, ketua pembangkang dan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

