malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
M'sia bantu Bangladesh siasat dakwaan militan berkait IS
Diterbitkan:  Jul 12, 2025 2:59 PM
Dikemaskini: 6:59 AM
ADS

Kerajaan Bangladesh telah memohon bantuan daripada pihak berkuasa Malaysia berhubung siasatan dalaman mereka terhadap dakwaan kewujudan militan dalam kalangan warganegaranya.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, permintaan tersebut dibincangkan dalam satu pertemuan dua hala antara Menteri Luar Malaysia, Mohamad Hasan dan Penasihat Asing Bangladesh, Touhid Hossain yang berlangsung semalam.

Pertemuan itu bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Forum Serantau Asean ke-32, dengan Touhid turut menyuarakan kebimbangan berhubung penahanan warganegara Bangladesh di Malaysia berkaitan dakwaan kegiatan ekstremisme.

"Menteri Luar Malaysia memberi jaminan akan memudahkan akses dan kerjasama kepada pihak berkuasa Bangladesh (melalui) pertukaran maklumat dan penemuan," kata Suruhanjaya Tinggi tersebut dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya menumpaskan satu rangkaian militan warga asing melalui penahanan 36 warga Bangladesh. Mereka disyaki terlibat secara langsung dengan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang didakwa berlandaskan ideologi kumpulan militan Islamic State (IS).

Penahanan itu dibuat melalui tiga fasa operasi keselamatan yang dirancang rapi di sekitar Selangor dan Johor, bermula pada 24 April lalu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kemudian mengesahkan tiada warganegara Malaysia yang telah direkrut dalam rangkaian militan tersebut.

Ketua Polis Negara Khalid Ismail pada minggu lalu memaklumkan bahawa GMRB menjana dana melalui yuran keahlian tahunan sebanyak RM500 seorang, selain menerima sumbangan sukarela lain daripada ahlinya mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Siasatan awal menunjukkan kumpulan tersebut dianggarkan memiliki antara 100 hingga 150 ahli, kesemuanya terdiri daripada warga Bangladesh yang bekerja dalam sektor buruh seperti di kilang, tapak pembinaan dan stesen minyak di seluruh negara.

Khalid turut memaklumkan bahawa polis masih menyiasat jumlah dana yang berjaya dikumpul dan disalurkan oleh kumpulan itu kepada rangkaian IS di Syria dan Bangladesh.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen