malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tahanan rumah: Malaysia tak boleh jadi negara dua darjat
Diterbitkan:  Jul 12, 2025 1:27 PM
Dikemaskini: 5:49 AM
ADS

Seorang ahli Parlimen DAP hari ini menolak keras cadangan Umno agar bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah.

Dalam kenyataannya, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, menegaskan bahawa prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang tidak boleh dikompromi.

Lim berkata semua sabitan jenayah mesti dihormati dan dilaksanakan tanpa pilih kasih.

Malah katanya, permintaan melibatkan Najib itu bukan sahaja mencalar prinsip keadilan, bahkan mengundang tanggapan bahawa wujud layanan khas untuk tokoh politik berpengaruh.

“Malaysia tidak boleh menjadi negara dua darjat — satu undang-undang untuk golongan elit, satu lagi untuk rakyat. Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan dengan saksama, berintegriti dan konsisten terhadap semua, tanpa pengecualian,” katanya.

Tambah Lim, Najib telah disabitkan bersalah oleh mahkamah tertinggi dalam kes salah guna dana awam.

“Jika individu yang dikaitkan dengan skandal kewangan terbesar negara diberi keistimewaan seperti ini, apakah isyarat yang disampaikan kepada penjawat awam, pemimpin lain, dan rakyat biasa?

“Apakah undang-undang hanya tegas terhadap mereka yang tiada jawatan atau pengaruh?” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Menurut Asyraf Wajdi, pengesahan tersebut sekali gus memperakui titah bagi penahanan rumah buat Najib.

Rabu lepas, media AGC tidak mempertikaikan kewujudan titah adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baru dalam permohonan semakan kehakiman Najib di mahkamah tinggi.

Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen