ULASAN | Bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bersama lapan lagi ahli parlimen dari partinya mungkin mempunyai alasan yang kukuh untuk menyeru penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap dakwaan campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam badan kehakiman.
Namun begitu, walaupun PN tidak mempunyai masalah dengan cadangan RCI, persoalan utama terletak pada kedudukan semasa Rafizi dan lapan ahli parlimen tersebut.
Mereka yang masih berfungsi dalam kerangka kerajaan sedia ada tidak mempunyai kekuatan atau ketegasan untuk mendesak penubuhan RCI, atau menuntut supaya Anwar tampil di hadapan jawatankuasa pilihan parlimen bagi menjawab tuduhan campur tangan dalam badan kehakiman.
Sebagai sebahagian daripada kerajaan, seruan sembilan ahli parlimen PKR itu tidak mempunyai legitimasi dan kuasa untuk menyiasat isu campur tangan kehakiman secara berkesan.
Justeru adalah lebih wajar bagi Rafizi dan yang lain-lain, jika mereka benar-benar serius, untuk keluar daripada barisan kerajaan dan berpihak kepada pembangkang.
Daripada terus menumpukan perhatian kepada PAS, Rafizi sepatutnya menunjukkan pendirian politik dan kepentingan nasional dengan membina pakatan yang lebih luas bagi menangani isu campur tangan kehakiman ini.
Adalah sukar untuk menentang kerajaan yang berakar umbi tanpa sokongan daripada pihak pembangkang.
Inilah sebab utama mengapa pembangkang tidak menyokong seruan yang dibuat oleh Rafizi dan lapan ahli parlimen lain itu.
Tambahan pula, daripada sekadar meminta Anwar untuk berundur sementara, pendirian Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman yang menuntut peletakan jawatan perdana menteri dilihat jauh lebih tepat.
Rafizi dan rakan-rakannya perlu membuat keputusan sama ada untuk terus berfungsi dalam kerangka kerajaan atau mengambil pendirian yang lebih tegas dengan menyertai barisan pembangkang dalam mendesak peletakan jawatan Anwar.
Rafizi dan rakan-rakannya tidak patut menjadi sebahagian daripada masalah, sebaliknya menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam menamatkan kemelut kehakiman negara.
P RAMASAMY adalah pengerusi Urimai.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

