Umno menafikan parti itu mula menguasai kabinet susulan pelantikan Johari Abdul Ghani untuk menjalankan tugas bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Kata Johari, langkah kerajaan melantik dia menjalankan tugas yang ditinggalkan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, adalah kerana Dewan Rakyat bakal bersidang tidak lama lagi.
Naib Presiden Umno itu menjelaskan Umno tidak boleh menguasai kabinet atau kerajaan kerana parti itu kini mempunyai 26 orang ahli parlimen sahaja sekarang.
Sokongan keseluruhan yang diperoleh kerajaan pula, katanya, berjumlah 148 orang.
"Yang menguasai ini di parlimen, di mana kerajaan perpaduan ini ada lebih kurang 148 (orang ahli parlimen).
“Itulah kekuatan kerajaan sekarang, dan setakat hari ini, belum ada lagi yang nak keluar (tarik sokongan)," katanya.
Johari yang juga menteri perladangan dan komuniti ditemui media selepas merasmikan mesyuarat Umno Kuantan, di Kuantan, Pahang, hari ini.
Dia dilantik memangku tugas menteri sumber asli dan kelestarian alam sejak semalam selepas Nik Nazmi berundur dari kabinet ekoran kekalahannya dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, mengumumkan tiada menteri baru dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.
Sebelum ini Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, lebih awal berundur dari kabinet – juga atas sebab yang sama seperti Nik Nazmi. Kekosongan itu diisi oleh Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.
Keputusan itu dilihat sesetengah pihak seperti mengetepikan PKR kerana dua individu yang dipilih memangku tugas Rafizi serta Nik Nazmi bukan dalam kalangan ahli parlimen parti tersebut.
Mengulas lanjut Johari berkata, tugas yang dipangkunya itu adalah bersifat sementara dan bertujuan melancarkan urusan sidang parlimen dan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13.
"Parlimen pun dah nak bersidang, dan bila bersidang, ada soalan-soalan yang perlu dijawab.
"Sebab itu lantikan jawatan ini dibuat sebagai pemangku untuk menyelesaikan isu-isu yang sangat kritikal dalam masa satu bulan, dua bulan dan tiga bulan ini," jelasnya.
Sementara itu ditanya mengenai perkara dibincangkan dalam pertemuan di antara ahli parlimen BN bersama Anwar malam tadi, Johari menjelaskan, dia tidak terlibat kerana berada di Kuantan sejak malam tadi bagi menghadiri program.

