GLOBAL | Jabatan Pertahanan AS (Pentagon) hari ini mengesahkan satu peluru berpandu balistik yang dilancarkan Iran pada bulan lalu mengenai Pangkalan Udara Al Udeid milik mereka di Qatar, lapor Anadolu Ajansi.
“Satu peluru berpandu balistik Iran mengenai Pangkalan Udara Al Udeid pada 23 Jun, manakala selebihnya berjaya dipintas sistem pertahanan udara AS dan Qatar,” kata jurucakap utama Pentagon, Sean Parnell, dalam satu kenyataan kepada Anadolu.
Menurut Parnell, serangan itu hanya menyebabkan kerosakan kecil pada peralatan dan struktur di pangkalan itu serta tiada kecederaan dilaporkan.
“Pangkalan Udara Al Udeid kekal beroperasi sepenuhnya dan mampu melaksanakan misinya bersama rakan kongsi kami di Qatar bagi memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini,” katanya.
Tehran melancarkan peluru berpandu ke arah pangkalan itu dalam satu tindakan yang dianggap sebagai peningkatan ketegangan selepas serangan AS terhadap tiga tapak nuklear Iran pada 21 Jun.
Berikutan insiden itu, Pusat Pemerintahan Tentera AS (CENTCOM) yang menyelia pasukan tentera AS di rantau itu memaklumkan tentera AS bersama Qatar berjaya menangkis serangan berkenaan.
Pengerusi Ketua Turus Bersama AS Jeneral Dan Caine dalam sidang media pada 26 Jun berkata usaha mematahkan serangan ke atas pangkalan itu adalah “penglibatan sistem Patriot terbesar dalam sejarah ketenteraan AS.”
Menurut Caine, pertahanan pangkalan itu turut melibatkan kru sistem Patriot dari Qatar.
Dia tidak menyatakan jumlah peluru berpandu Patriot yang digunakan, namun menggambarkan bahawa terdapat “banyak serpihan logam di udara” ketika serangan berlaku.
- Bernama/Anadolu

