Badan Peguam Malaysia memutuskan untuk mengadakan satu lagi perarakan awam pada 14 Julai untuk menuntut kebebasan kehakiman.
Ini berikutan persaraan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 1 Julai, tanpa pengganti dilantik. Pada masa ini, Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim memangku jawatan itu.
Selain itu, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim juga bersara pada 3 Julai, tanpa pengganti. Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof memegang jawatan itu buat sementara waktu.
Presiden Badan Peguam Malaysia, Ezri Abdul Wahab berkata bahawa 'Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman' yang dirancang adalah untuk menyuarakan kebimbangan institusi yang serius mengenai keadaan badan kehakiman, dan bukan untuk mana-mana hakim secara spesifik.
Badan Peguam Malaysia mempunyai sejarah panjang berarak untuk demokrasi dan keadilan sejak 1947, terutamanya pada 7 April 1981 apabila mereka berarak dari Royal Lake Club ke Parlimen, membantah pindaan kerajaan kepada Akta Pertubuhan dan Perlembagaan Persekutuan.
Pada Disember 2005 dan 2006 pula, perarakan aman berlangsung dari Dataran Merdeka ke Lake Garden di Kuala Lumpur untuk menandakan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa pada 10 Disember.
Malaysiakini meninjau semula beberapa perarakan Badan Peguam Malaysia.

2007: Pita VK Lingam
Pada 26 Sept 2007, kira-kira dua ribu peguam mengadakan protes menuntut siasatan terhadap dakwaan bahawa campur tangan pelantikan hakim berlaku.
Ini selepas ketua pembangkang Anwar Ibrahim mengeluarkan klip video, yang dirakam pada 2002, dikatakan menunjukkan peguam kanan VK Lingam mendedahkan peranannya untuk menaikkan Ahmad Fairuz Abdul Halim sebagai Hakim Besar Malaya, jawatan ketiga paling kanan dalam badan kehakiman.
Semasa perarakan inilah presiden Majlis Peguam ketika itu Ambiga Sreenevasan mengungkapkan ungkapannya yang terkenal: "Peguam tidak berjalan setiap hari. Apabila peguam berjalan, ada yang tidak kena."
Perhimpunan bermula dari Istana Kehakiman ke Seri Perdana, dan turut disertai ahli DAP dan PKR.
Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi berkhidmat sebagai perdana menteri ketika itu. Kumpulan itu kemudiannya menyerahkan memorandum menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat skandal berkenaan.
Di bawah tekanan, Abdullah membentuk RCI, dengan penyiasatan menyimpulkan bahawa Lingam dan beberapa yang lain telah menjejaskan badan kehakiman secara serius.
Selepas kehilangan majoriti dua pertiga BN yang telah lama dipegang berikutan pilihan raya umum 2008, Abdullah memulakan beberapa pembaharuan, termasuk membentuk Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada Februari 2009.

2011: Berarak bantah Akta Perhimpunan Aman
Pada 2011, Majlis Peguam mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur untuk membantah pembentangan Akta Perhimpunan Aman (APA) semasa Najib Abdul Razak menjadi perdana menteri.
Diketuai oleh presiden Majlis Peguam ketika itu Lim Chee Wee, perhimpunan itu menyaksikan ratusan orang berarak dari Kelab Tasik Diraja ke bangunan Parlimen.
Mereka menganggap undang-undang itu bertentangan dengan kebebasan bersuara dan mengenakan hukuman berat terhadap penganjur perhimpunan. Para peguam kemudian menyerahkan memorandum kepada timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Liew Vui Keong.
Akta itu akhirnya menjadi undang-undang pada April 2012, mewajibkan penganjur perhimpunan menyerahkan notis sekurang-kurangnya lima hari lebih awal kepada polis sebelum menganjurkan protes. Pada 1 Julai tahun ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan Fasal 9(5) akta itu sebagai tidak berperlembagaan.
Peruntukan itu menetapkan penganjur boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 kerana gagal memberikan notis kepada polis, lima hari sebelum perhimpunan yang dirancang.

2014: Berarak bantah Akta Hasutan
Pada 16 Okt 2014, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan, kebanyakannya peguam, berarak dari Padang Merbok ke Parlimen, untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap Akta Hasutan 1948.
Antara yang menyertai perhimpunan itu ialah presiden Badan Peguam Malaysia ketika itu, Christopher Leong, pendahulunya Ambiga dan Setiausaha Agung PSM ketika itu, S Arutchelvan.
Beberapa pemimpin DAP termasuk Gobind Singh Deo dan Nga Kor Ming - yang kini menjadi sebahagian daripada kabinet Anwar, turut hadir.
Selepas perarakan itu, menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu Mah Siew Keong, menerima memorandum daripada kumpulan itu bagi pihak Najib.
Walaupun bekas gabungan Pakatan Harapan telah berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan ketika menjadi pembangkang, kerajaan gabungan itu kini hanya mempertimbangkan untuk meminda undang-undang berkenaan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, keputusan itu diambil selepas dia mengemukakan dapatan daripada sesi dialog mengenai pendekatan undang-undang bagi menangani isu semasa agama, kaum, dan raja (3R).

2022: Berarak bantah SPRM
Pada 17 Jun 2022, Badan Peguam Malaysia mengadakan perarakan 'Walk for Judicial Independence' sebagai tindak balas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan siasatan terhadap hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Nazlan Ghazali, susulan sebuah blog yang dikaitkan dengan politik mendakwa hakim itu mempunyai kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.
Nazlan, yang mengetuai perbicaraan Najib dan mensabitkannya dalam kes rasuah RM42 juta SRC International, menafikan dakwaan itu dan membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Perhimpunan tidak berjalan lancar kerana peserta disekat oleh polis semasa berkumpul di Padang Merbok, menghalang mereka daripada berjalan ke Parlimen walaupun kumpulan itu telah menghantar notis yang diperlukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) ketika itu Mas Ermieyati Samsudin, yang pada mulanya dijangka menerima memorandum daripada Majlis Peguam di Parlimen, kemudian berjalan ke arah peguam untuk menerimanya.
Susulan itu, presiden Majlis Peguam ketika itu Karen Cheah dan beberapa yang lain memfailkan saman terhadap polis. Polis bagaimanapun mendakwa perarakan itu tidak dibenarkan kerana bantahan dari premis berhampiran.
Pada 20 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa polis telah bertindak ultra vires (di luar kuasa) untuk mengenakan syarat yang melarang perhimpunan itu pada 2022.

