Nazri Aziz menyatakan rasa pelik terhadap tindakan Latheefa Koya menuntut penjelasan perdana menteri berkaitan tanggapan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat tidak disambung perkhidmatan kerana ucapan di luar negara.
Nazri, bekas menteri Umno, berkata Latheefa tersalah tafsir kenyataannya, sambil menegaskan pandangan peribadinya bukan mewakili keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Sebagai seorang peguam yang hebat, agak pelik bila Latheefa menganggap kenyataan saya sebagai keputusan perdana menteri,” katanya lagi.
Terdahulu, Latheefa, pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL), mendesak Anwar menjawab dakwaan Tengku Maimun tidak disambung perkhidmatan kerana membayangkan Anwar campur tangan dalam pelantikan kehakiman.

Latheefa membuat gesaan itu susulan kenyataan Nazri yang menganggap tindakan itu membawa kepada keputusan melibatkan jawatan hakim tertinggi di Malaysia.
“Jadi, jika anda ingin tahu mengapa perkhidmatan beliau tidak disambung, mungkin itulah sebabnya,” dia dipetik sebagai berkata kepada Scoop.
Portal itu melaporkan, dalam ucapan bertajuk Judicial independence and Parliamentary Sovereignty – A Colossi of Roads? di Malta, Maimun menyentuh cadangan meminda akta dan perlembagaan untuk menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim.
Sementara itu, Nazri berkata hubungannya yang baik dengan Anwar tidak bermakna dia mempunyai pengaruh untuk mencampuri urusan kerajaan.

“Perdana menteri berhak sepenuhnya atas apa-apa keputusan yang mahu beliau buat,” katanya.
Dia juga menasihatkan Latheefa memahami maksud sebenar kenyataannya sebelum memberi sebarang reaksi.
“Dalam kenyataan saya, saya ada sebut bahawa seorang ketua hakim tidak boleh mencampuri urusan politik. Saya rasa Latheefa juga faham perkara ini.
“Tetapi ucapan Tengku Maimun di luar negara itu seolah-olah menunjukkan beliau cuba mencampuri urusan politik,” katanya.
“Bila dia sebut pelantikan hakim perlu bebas daripada campur tangan perdana menteri, bermakna dia nak beritahu perdana menteri sebelum ini termasuk yang melantik dia juga masuk campur urusan kehakiman?
“Dia kena ingat, perdana menteri itu dipilih oleh rakyat, jadi kena hormat orang yang dipilih oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Nazri menegaskan sekiranya Tengku Maimun tidak disambung kerana ucapan di luar negara seperti yang dia nyatakan, ia bukan satu perkara pelik.
Katanya, jika khidmat Tengku Maimun disambung, tidak mustahil banyak lagi urusan politik akan dicampuri.
“Jika dilanjutkan selama enam bulan lagi, tidak mustahil dia boleh membuat pelbagai kenyataan yang memburukkan perdana menteri dan masuk campur urusan politik,” katanya.
Dalam nada sinis, dia mengucapkan terima kasih kepada Latheefa kerana memberikannya pengiktirafan sebagai tokoh penting, walaupun dia hanya memegang jawatan ketua bahagian.
“Betapa hebatnya Umno ini, ketua bahagian pun dianggap watak penting dalam politik negara,” katanya berseloroh.

