Penduduk Kampung Sungai Baru hari ini meminta Kerajaan Persekutuan campur tangan dalam isu pengusiran penempatan mereka yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias berkata, tindakan pengambilan tanah secara paksa menggunakan Seksyen 3 (1) (c) di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 adalah tidak berperlembagaan.
"Pengambilan tanah secara paksa ini tidak mengikut undang-undang Seksyen 3 (1) (c) yang membenarkan pengambilan tanah secara paksa bukan untuk kepentingan awam tapi untuk kepentingan pihak ketiga pihak yang ingin menjaga poket sendiri.
"Di manakah keadilan dan bagaimana kerajaan ingin mengatakan mereka menjaga hak pemilik tanah mereka.
"Kami nak kerajaan mansuhkan Seksyen 3 (1) (c) ini yang disalahgunakan kuasa demi kepentingan pemaju," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Kuala Lumpur hari ini.
Zainab menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Suhakam Altaf Deviyati.
Memorandum itu menuntut 10 perkara, antaranya menghentikan semua tindakan perobohan dan pengusiran secara paksa, selain warisan budaya dan identiti Kg Sungai Baru mesti dikekalkan dan tidak dikorbankan demi pembangunan.
Memorandum itu juga mendesak kerajaan mengkaji semula Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) selain mendesak pembangunan inklusif di kawasan itu dirancang dengan mengambil kira pandangan penduduk.

Penduduk berarak tanda bantahan
Terdahulu, hampir 50 individu menyertai perarakan bermula dari Masjid Jamek Kampung Baru ke ibu pejabat Suhakam untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan dalam mengendalikan isu kampung Sungai Baru.
Mereka berkumpul secara aman dengan membawa plakad bagi membantah tindakan pihak pemaju dan kerajaan.
Turut hadir, ketua pembangkang Perak Razman Zakaria, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Azhar Yahya, Presiden parti Putra Ibrahim Ali, peguam dari Lawyers For Liberty (LFL) Latheefa Koya, N Surendran dan Zaid Malek.
Untuk rekod, Seksyen 3(1)(c) Akta Pengambilan Tanah 1960 memperuntukkan situasi di mana Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri boleh mengambil tanah milik persendirian untuk tujuan awam atau kepentingan umum.
Seksyen ini menyatakan bahawa tanah boleh diambil jika ia diperlukan untuk "apa-apa tujuan yang berguna kepada ekonomi negara atau awam atau apa-apa kelas orang awam.
Klausa ini memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tanah bukan sahaja untuk projek infrastruktur tradisional (seperti jalan, sekolah, atau hospital), tetapi juga untuk projek yang mendatangkan manfaat ekonomi atau sosial yang lebih luas.

‘Kerajaan gagal pertahan Kg SG Baru’
Mengulas lanjut, Zainab menyifatkan kerajaan gagal dalam mempertahankan kampung yang telah mereka duduki lebih satu abad.
"Tanah Kampung Sungai Baru adalah sebahagian daripada tanah MAS (Malay Agricultural Settlement) atau Penempatan Pertanian Melayu dan kami adalah orang yang terawal di situ.
"Jadi kalau kata pada tahun 1899, Sultan Alauddin Sulaiman Shah dah anugerahkan tanah itu kepada nenek moyang kami, maknanya dah lebih 125 tahun dan lebih satu abad kami menetap di sini.
"Adakah kami orang asal patut diusir begitu sahaja? Apa saya boleh cakap adalah Kerajaan Madani gagal," katanya.
Dia juga mendakwa penduduk rumah teres juga menerima notis pengusiran dan perlu mengosongkan kampung itu sebelum 16 Julai ini.
"Kami meminta kerajaan untuk menangguhkan notis ini.
"Jadi tunggulah. Saya minta semua pihak turun beramai-ramai pada 16 Julai untuk melihat apa yang berlaku," katanya merujuk kepada tarikh pengusiran berkenaan.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru — yang merangkumi rumah teres dan flat — mencuri perhatian apabila segelintir penduduk membantah pampasan yang dianggap tidak setimpal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, sebelum ini menjelaskan di parlimen, pembangunan tersebut hasil rundingan bersama antara pemilik dan pemaju tanpa paksaan atau tekanan.
Sebahagian penduduk yang enggan berpindah sebelum ini juga menegaskan bahawa ia bukan semata-mata kerana pampasan, tetapi kerana ingin mempertahankan warisan rumah pusaka keluarga.
Pemaju kemudian menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mengambil alih tanah terbabit.

