malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM nafi lagi campur tangan kehakiman, gesa hormat proses perundangan
Diterbitkan:  Jul 11, 2025 4:45 PM
Dikemaskini: 8:45 AM
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulangi penafiannya berhubung dakwaan campur tangan dalam keputusan kehakiman, di tengah-tengah desakan yang semakin meningkat untuk pembaharuan dan kebimbangan terhadap gangguan dalam badan kehakiman.

Dia menegaskan pentingnya untuk semua pihak menghormati proses pelantikan hakim seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Seperti mana saya sebut, saya lebih dua tahun setengah tidak pernah campur urusan keputusan mahkamah, itu yang saya ingat.

"Penting soal proses pelantikan seperti mana diperuntukkan dalam Perlembagaan dan juga bidang kuasa masing masing," katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Perdana menteri menambah bahawa sebarang perubahan dalam mekanisme pelantikan kehakiman perlu dimulakan melalui pindaan perlembagaan.

"Kalau (ada pihak) rasa nak pinda, cadangkan pindaan Perlembagaan. Tapi bidang ini kita ikut proses yang diamalkan selama ini," katanya.

Mengulas mengenai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman anjuran Badan Peguam Malaysia yang dijadual berlangsung di Putrajaya pada 14 Julai ini, Anwar berkata pendirian yang dizahirkan pihak berkuasa sebelum ini kekal tidak terjejas dengan acara itu.

"Itu keputusan dia (penganjur perhimpunan) tapi kita sudah jelaskan, Peguam Negara (Mohd Dusuki Mokhtar) sudah jelaskan, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said jelaskan, malah Yang di-Pertuan Agong pun sudah jelaskan.

"Jadi kita ikutlah proses dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang ada," katanya

Perarakan 14 Julai ini akan bermula di Istana Kehakiman di Putrajaya dan berakhir di Pejabat Perdana Menteri (PMO), dengan penyerahan memorandum menggesa langkah segera untuk menjaga kebebasan kehakiman.

Badan Peguam telah menjelaskan bahawa perarakan itu bukan bertujuan untuk mempertahankan mana-mana hakim tertentu, tetapi untuk menonjolkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap integriti badan kehakiman.

Dalam satu kenyataan semalam, Azalina, berkata Putrajaya akan memulakan kajian penyelidikan perbandingan awal mengenai pembaharuan proses pelantikan kehakiman.

Selepas persaraan bekas ketua hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat minggu lepas, beberapa ahli parlimen dan pengamal undang-undang terkemuka telah menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan skandal kehakiman dan campur tangan kerajaan dalam proses kehakiman.

Pihak tertentu juga menggesa Anwar meletak jawatan sebagai perdana menteri, dengan menegaskan bahawa penglibatannya dalam pertikaian sivil yang berterusan menafikan haknya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan hakim.

Terbaru, Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman Negara, yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, menggesa Anwar berundur segera, memberi amaran bahawa ia mungkin mengambil tindakan undang-undang untuk menangani perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen