Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyertai perarakan dianjurkan Badan Peguam Malaysia yang dijadual berlangsung di Putrajaya pada minggu depan.
Bercakap kepada media hari ini, bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu menjelaskan pada hari yang sama dia sebaliknya perlu menghadiri satu mesyuarat melibatkan Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman.
Mesyuarat berkenaan, kata ahli politik yang kini berusia 100 tahun itu, melibatkan lebih banyak pihak.
“Saya tak akan pergi protes peguam (sebab) kita ada satu mesyuarat sekretariat dan yang terlibat bukan hanya peguam sebaliknya ada NGO, dan wakil dari parti-parti politik,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai perkara itu pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman itu dianjur oleh Badan Peguam pada 14 Julai melibatkan pergerakan dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri (PMO). Mereka kemudian dijadual menyerahkan memorandum kepada PMO.
Ia berisi desakan agar pihak kerajaan mengambil langkah segera mempertahankan institusi kehakiman.
Badan Peguam menegaskan perarakan itu bukan untuk mempertahankan mana-mana hakim sebaliknya menyatakan kebimbangan mereka yang kian meningkat terhadap integriti institusi kehakiman.
Gesaan itu dilatari oleh kontroversi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan ekoran persaraan penyandangnya. Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dilaporkan sudah memberi cadangan nama pengganti bagi kedua-dua jawatan tersebut kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebelum ini.
Sokong kempen PM letak jawatan
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa parti berkenaan itu akan menyertai perarakan tersebut, khususnya melalui pembabitan para peguam mereka.
Kumpulan pendesak reformasi pilihan raya, Bersih, juga menyatakan komitmen untuk mengambil bahagian.
Sementara itu Takiyuddin – yang turut hadir pada sidang media hari ini – menyatakan PN tidak lagi menyokong gesaan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mendesak agar suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi merungkai isu tersebut.
"Dengan segala hormatnya kepada beliau (Rafizi), kami tidak boleh memberikan sokongan kerana Rafizi masih anggota penyokong kerajaan.
“Mengapa beliau perlu meminta sokongan daripada pembangkang?” katanya.

Takiyuddin yang juga seorang peguam memberitahu, PN tidak yakin dengan cadangan Rafizi agar RCI ditubuhkan akan menjadi kenyataan.
Hal itu kerana, kata Ahli Parlimen Kota Bharu berkenaan, saranan menubuhkan sesebuah RCI mestilah datang daripada perdana menteri yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Sedangkan hari ini (sekarang)) kita (PN) sokong supaya perdana menteri yang mesti letak jawatan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin berkata dia dan ketua pembangkang Hamzah Zainudin belum menerima surat pelawaan yang dilaporkan dihantar oleh Rafizi kepada semua ahli parlimen bagi mengajak mereka menyokong penubuhan RCI.
Dia juga memaklumkan, Hamzah bercadang untuk menyoal Anwar mengenai isu pelantikan hakim semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 22 Julai ini, Takiyuddin menjemput Rafizi untuk bertanya soalan tambahan nanti.

