Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi bersetuju melaksanakan satu kajian perbandingan menyeluruh berhubung proses dan tatacara pelantikan kehakiman negara.
Pengerusinya, William Leong Jee Keen berkata kajian tersebut akan menilai peruntukan berkaitan termasuk Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695), peraturan dan amalan semasa pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi serta jawatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar.
“Perlembagaan menyatakan bahawa pelantikan hakim Mahkamah Atasan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Sementara itu, Seksyen 2 Akta 695 menegaskan kewajipan Perdana Menteri untuk mempertahankan kebebasan kehakiman dan memastikan sokongan sewajarnya bagi badan kehakiman menjalankan fungsinya," jelasnya.
William berkata pelaksanaan kajian tersebut dibuat susulan hasil perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang (Dewan Negara), Rita Sarimah Patrick Insol dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, semalam.
Menurut William, ketiga-tiga pihak bersetuju bahawa sistem pelantikan hakim bagi Mahkamah Atasan memerlukan penelitian serius, selaras dengan kepentingan awam dan struktur asas Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang kelemahan dalam proses pemilihan individu yang layak dan mempunyai merit untuk mengisi jawatan hakim bagi Mahkamah Atasan, atau apa-apa kekurangan pada tatacara pemilihan dan kriteria pemilihan itu sendiri mendesak untuk suatu semakan dibuat dalam usaha bagi menambah baik proses ini.
“Hal ini adalah mustahak bagi memastikan bahawa kebebasan badan kehakiman dapat terus diangkat dan dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azalina dalam pertemuan tersebut semalam menyatakan persetujuannya untuk memulakan kajian penyelidikan perbandingan awal mengenai proses pembaharuan pelantikan kehakiman.
Azalina berkata kajian itu bertujuan untuk pemahaman menyeluruh mengenai proses pelantikan kehakiman di negara yang mempunyai sistem perundangan yang serupa dengan Malaysia.
Tambahnya, ia juga akan mencadangkan pembaharuan berasaskan bukti yang sesuai dengan konteks Malaysia.
Menurut Azalina, kajian itu, yang akan memberi tumpuan kepada United Kingdom, Singapura, Australia, dan India, juga akan menilai model pelantikan kehakiman yang lebih berkesan, mengenal pasti amalan terbaik, dan mengesyorkan pembaharuan yang sesuai mematuhi Perlembagaan Persekutuan, dan dalam konteks Malaysia sebagai raja berperlembagaan.
Mengulas lanjut William berkata kajian itu juga akan mengambil kira undang-undang dan prosedur berkaitan serta membandingkan dengan amalan terbaik antarabangsa dalam usaha mengemukakan cadangan penambahbaikan, sejajar dengan prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
William turut menyatakan bahawa maklumat lanjut berkaitan prosiding kajian ini akan diumumkan dalam masa terdekat selain menyeru wakil rakyat, organisasi masyarakat sivil serta orang ramai untuk tampil memberikan pandangan dan cadangan secara konstruktif.
“Sebarang maklumat lanjut berkenaan prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan saya umumkan dalam masa terdekat.
“Mana-mana wakil rakyat, badan organisasi masyarakat sivil, atau masyarakat umumnya adalah dialu-alukan untuk memberikan pandangan dan cadangan yang konstruktif,” katanya.
Berikutan persaraan bekas ketua hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat, kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan skandal kehakiman dan campur tangan kerajaan dalam proses kehakiman telah dibangkitkan oleh beberapa ahli parlimen dan tokoh undang-undang terkemuka.
Pada hari Isnin, bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli dan beberapa Ahli Parlimen PKR yang lain menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), manakala Badan Peguam Malaysia juga akan mengadakan perarakan pada 14 Julai untuk menyatakan kebimbangan yang sama mengenai perkara itu.

