malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengurusan lapangan terbang: Saksi akan dipanggil lagi
Diterbitkan:  Jul 11, 2025 1:10 PM
Dikemaskini: 5:11 AM
ADS

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula beberapa saksi, termasuk bekas pengarah bebas Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), kerana terdapat persoalan berkaitan pengurusan lapangan terbang awam yang belum terjawab.

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata PAC telah mengadakan 16 mesyuarat prosiding berhubung isu tersebut dan akan meneruskan dengan memanggil saksi tambahan.

“Setelah meneliti hansard keterangan-keterangan saksi yang dipanggil sebelum ini, PAC mendapati masih terdapat beberapa perkara yang perlu dijelaskan," katanya.

Ini bertentangan dengan kenyataan anggota PAC Sim Tze Tzin bahawa Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan menjawab semua soalan dengan berkesan, membolehkan jawatankuasa itu menamatkan sesi dan mula menyediakan laporan.

Timbalan Pengerusi PAC Teresa Kok pula dilaporkan berkata bahawa Amir menjawab semua soalan yang dikemukakan oleh jawatankuasa dengan jelas dan yakin.

Mas Ermieyati hari ini mengingatkan semua pihak bahawa sebarang dapatan, perbincangan atau dokumen yang dibentangkan semasa prosiding PAC tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Oleh itu, katanya, ia tidak sepatutnya dimaklumkan kepada media oleh mana-mana pihak.

Dia turut menegaskan bahawa pandangan Kok dan Sim bersifat peribadi.

"Jawatankuasa ini ingin mengaskan bahawa kenyataan Naib Pengerusi, YB Seputeh dan anggota PAC, YB Bayan Baru semalam adalah kenyataan peribadi dan tidak mewakili jawatankuasa ini,” katanya.

Mas Ermieyati, yang juga anggota parlimen Masjid Tanah, mengucapkan terima kasih kepada semua saksi yang bekerjasama dengan siasatan PAC mengenai pengurusan MAHB.

"PAC masih belum memuktamadkan sebarang rumusan atau syor bagi penyata berhubung prosiding Pengurusan Lapangan Terbang Awam. 

“Selepas selesai prosiding, PAC akan mengadakan mesyuarat penyediaan laporan untuk menyiapkan laporan dan menghasilkan rumusan serta syor yang akan dikemukakan kepada kerajaan dan membentangkan laporan ini di Dewan Rakyat."

Sebelum ini, PAC memanggil beberapa tokoh penting, termasuk bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin; CEO Hong Leong Investment Bank Lee Jim Leng; CEO Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Nik Amlizan Mahamed; serta presiden dan ketua CEO Permodalan Nasional Berhad Abdul Rahman Ahmad.

Saksi lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Fad’l Mohamed dan Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Zain Azhari Mazlan, yang mewakili Pengerusi SC Mohammad Faiz Azmi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen