malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi bidas negara Islam berkiblatkan Rumah Putih, Bank Dunia
Diterbitkan:  Jul 11, 2025 12:59 PM
Dikemaskini: 4:59 AM
ADS

Abdul Hadi Awang hari ini membidas tindakan segelintir negara Islam yang didakwanya terus berkiblatkan Rumah Putih dan Bank Dunia dalam soal politik mahupun ekonomi.

Sedangkan, kata Presiden PAS itu, Presiden AS, Donal Trump, terus membantu negara haram Israel melakukan keganasan dengan semua jenis senjata secara bertali arus ke atas negara Islam.

"Kini, dia berlagak menjadi pendamai yang menjadi topeng keselamatannya, dengan agenda perpaduan yang bernama agama Abraham bagi menyatukan tiga agama besar Yahudi, Kristian, dan Islam, kerana dikatakan sama-sama berasal daripada zuriat Nabi Ibrahim AS.

"...Malangnya, terdapat kalangan negara Islam dan Arab yang memisahkan antara dua kiblat.

“Kiblat solatnya ke arah Kaabah di Makkah, tetapi kiblat politik dan ekonominya ke arah Rumah Putih serta Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington, yang memimpin pakatan ahzab baru," katanya dalam Minda Presiden PAS, hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, kumpulan yang dipimpin Trump itu juga pada masa sama menubuhkan ‘pakatan ahzab moden’ bagi memerangi Islam.

Katanya, tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan kekalahan dalam menghadapi kumpulan Islam Palestin dan Iran yang dilabelkan sebagai golongan pengganas dan pelampau.

"Padahal merekalah (AS dan Israel) yang mengganas dan melampau, malah dapat disaksikan oleh seluruh pelosok dunia.

"Kumpulan Hamas, Tanzim Jihad, Hizbullah, dan Ansarullah yang menegaskan keislaman mereka dianggap pengganas. Pakatan ahzab moden tetap memerangi Islam tanpa mengira mazhab," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen