Muda menyatakan bantahan keras terhadap pelan terbaru kerajaan Selangor untuk penswastaan tempat letak kereta, dengan menyifatkannya sebagai satu tindakan yang “melemahkan tadbir urus tempatan” serta “menghakis kepercayaan awam.”
Memberi tumpuan khusus kepada impaknya terhadap Petaling Jaya, parti itu berhujah penswastaan tempat letak kereta di tepi jalan akan menghakis kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta menimbulkan persoalan serius dari segi perundangan dan tadbir urus.
“Kami bimbang apabila MBPJ — selaku pihak berkuasa sah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 — dilucutkan fungsi statutori untuk mengurus dan menguatkuasakan sistem parkir dalam bidang kuasanya.
“Akta tersebut dengan jelas memperuntukkan bahawa ‘pihak berkuasa yang sewajarnya’ untuk pengurusan tempat letak kereta di tepi jalan ialah pihak berkuasa tempatan, bukan kerajaan negeri atau mana-mana pihak swasta yang dilantik olehnya,” kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Muda, VKK Rajasekaran Teagarajan.

Muda turut menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan ketelusan dalam pelaksanaan pelan ini, terutamanya selepas laporan menyatakan pihak berkuasa tempatan di Selangor hanya akan menerima 40 peratus hasil kutipan daripada perjanjian tersebut.
Parti itu menyifatkan perkongsian hasil tersebut sebagai “tidak seimbang” dan mengatakan ia “menjejaskan hak penduduk Petaling Jaya yang sewajarnya mengharapkan hasil awam dilaburkan semula kepada perkhidmatan tempatan.”
Sehubungan itu, Muda menggesa agar pelaksanaan pelan ini dihentikan serta-merta sehingga perundingan yang wajar dan semakan menyeluruh dijalankan. Mereka turut mendesak agar proses tender terbuka dan kompetitif digunakan untuk sebarang bentuk kerjasama awam-swasta yang melibatkan aset awam.
“Kami tegaskan bahawa ketelusan, akauntabiliti dan kesahan perlu menjadi asas kepada penyampaian perkhidmatan awam. Sebarang tindakan mengenepikan kuasa pihak berkuasa tempatan tanpa proses sewajarnya bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menghakis kepercayaan rakyat.
“Muda menyeru kerajaan negeri Selangor dan MBI Selangor untuk menjunjung kedaulatan undang-undang dan memastikan setiap keputusan yang melibatkan aset dan perkhidmatan awam dibuat demi kepentingan rakyat,” tegas Rajasekaran.
Fasa pertama bermula 1 Ogos
Pada Rabu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim mengumumkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor bersetuju untuk bekerjasama dengan syarikat konsesi Rantaian Mesra Sdn Bhd bagi melaksanakan fasa pertama projek penswastaan parkir ini.
Fasa pertama bermula pada 1 Ogos itu akan melibatkan pengurusan parkir di bawah bidang kuasa MBPJ, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Menurut Ng, hasil kutipan akan dibahagi secara ‘sama rata’ antara syarikat konsesi dan kerajaan negeri — dengan Rantaian Mesra menerima 50 peratus, pihak berkuasa tempatan menerima 40 peratus, manakala 10 peratus lagi disalurkan kepada MBI Selangor.
Ng menafikan dakwaan proses pemilihan dibuat secara tertutup dan menegaskan langkah ini sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil kutipan parkir.
Dia menjelaskan 26 syarikat telah memberi maklum balas kepada permintaan cadangan (request for proposal) yang dibuka oleh kerajaan Selangor, sebelum tiga syarikat disenarai pendek.
“Syarikat akhir dipilih berdasarkan syarat prestasi yang ketat. Jika sasaran tidak dicapai, kontrak 10 tahun ini boleh ditamatkan pada bila-bila masa,” jelasnya.
Ahli parlimen Sekinchan itu juga memberi jaminan sistem baru ini tidak akan menyebabkan kadar parkir naik dan kadar sedia ada masih dikekalkan antara 40 hingga 60 sen sejam.

