Tanggal 9 Julai 2025 menandakan 14 tahun selepas demonstrasi Bersih 2.0. Ya, kita dan media sudah perlu biasakan menggunakan perkataan demonstrasi kerana tidak ada salahnya berdemonstrasi menyatakan tuntutan.
Perlawanan kita selama ini untuk membuka ruang di jalanan harus dibiasakan disebut kepada orang ramai tanpa ada perasaan apologetik atau takut untuk menggunakan istilah demonstrasi kerana tidak mahu dikaitkan dengan aksi ganas, yang tidak menjadi inti pun kepada demonstrasi itu.
Bersih 2.0 menjadi titik tolak perlawanan baru untuk rakyat Malaysia, dan ada yang menggelarkan generasi selepas itu sebagai generasi Bersih. Sebelum itu ada katanya generasi Reformasi (1999).
Soalan yang selalu ditanya, atau ditanya-tanya adalah adakah berbaloi turun Bersih? Ada yang turun sekali. Ada yang turun berkali-kali. Tidakkah menyesal melihat kepada apa yang berlaku selepas 2018, atau 2020?

Tidak sama sekali kita perlu sesalkan. Demonstrasi Bersih 2.0, dan demonstrasi Bersih yang lain sehingga Bersih5 adalah perjuangan kita, rakyat biasa yang mahukan perubahan.
Bersih 2.0, kalaupun bukan titik mula, namun demonstrasi Bersih 2.0 seolah paluan gendang yang membangkitkan tenaga rakyat untuk mengambil semula ruang sivil kita daripada terus dibungkam.
Aku masih ingat perbincangan, atau 'persembangan' bersama beberapa teman, betapa rakyat biasa, terutama gerakan masyarakat sivil perlu menuntut semula perkataan reformasi. Reformasi tidak perlu dikaitkan hanya kepada seorang sosok tubuh bernama Anwar Ibrahim.
Mahupun reformasi menjadi hak eksklusif mana-mana parti politik. Reformasi adalah milik rakyat kerana derap langkah kaki kitalah yang menjayakan agenda reformasi dan agenda perubahan.

Air mata kita akibat gas pemedih matalah yang menyiram denai-denai perlawanan untuk menuntut hak rakyat. Di jalanan itulah demokrasi dan suara rakyat dimaknai.
Dan jika ditanya 1,000 kali, atau 1,000 tahun lagi pun, aku akan tetap setia menjawab yang tidak ada perlu kita kesalkan dengan turun ke mana-mana demonstrasi yang digerakkan oleh rakyat.
Kita berjaya membuat perubahan. Kita jugalah yang perlu berjuang untuk memastikan perubahan dan reformasi itu berlaku. Tidak ada ruang untuk kita berdiam diri dan membiarkan agenda reformasi politik, reformasi pilihan raya, reformasi institusi terlepas daripada genggaman kita.

Jangan pernah menyesal kerana turun Bersih 2.0 kerana kita telah mencipta sejarah. Kita turun bukan sekadar untuk menumbangkan satu kerajaan dan menaikkan pula satu kerajaan yang lain.
Kita turun ke jalan kerana kita sedar bahawa menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan demokrasi di negara tanah tumpah darah ini terus dipertahankan. Masanya akan tiba.
Hidup rakyat! Merdeka! Lawan!
ASRAF SHARAFI MOHAMMAD AZHAR adalah pengarah eksekutif Bersih.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

