Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan terhadap gesaan bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan mengenai pelantikan kehakiman.
Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya menyokong cadangan itu secara prinsip tetapi masih mempunyai keraguan.
“Saya menyokong cadangan itu, tetapi saya tetap ragu-ragu.
“Adakah RCI itu akan telus memandangkan perdana menterilah yang akan melantik ahlinya?
"Ini juga akan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, sedangkan isu ini perlu (ditangani) segera," kata Tuan Ibrahim (gambar atas) kepada Malaysiakini.
Dia seterusnya mengingatkan bahawa inkuiri itu boleh berakhir sebagai akademik semata-mata jika penemuannya gagal mengubah keadaan.
Selain itu, pemimpin PAS berkenaan menyorot bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah pun menyatakan RCI adalah tidak wajar, dan menteri undang-undang juga telah mengeluarkan kenyataan yang sama.
Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dari Bersatu berkata dia secara peribadi menyokong saranan Rafizi tetapi masih belum berunding dengan Ahli Parlimen PN yang lain.
"Saya secara peribadi menyokongnya. Tetapi saya belum semak dengan rakan-rakan ahli parlimen PN saya," katanya ringkas ketika dihubungi.
Kedua-dua ahli parlimen pembangkang itu dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka telah menerima surat itu daripada Rafizi pagi ini.
Dalam surat itu, Rafizi menggesa semua ahli parlimen menyokong tiga tuntutan:
Penubuhan RCI untuk menyiasat dakwaan itu;
Bagi jawatankuasa pilihan khas parlimen untuk hak asasi manusia, pilihan raya, dan reformasi institusi menyiasat dakwaan itu, termasuk memanggil Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberi kenyataan; dan
Mengisi kekosongan jawatan kehakiman utama berdasarkan saranan terdahulu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Tengku Maimun Tuan Mat bersara sebagai ketua hakim negara pada 2 Julai, selepas dia tidak diberikan lanjutan enam bulan.
Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim, yang sedang menjalani pelanjutan enam bulan tempoh perkhidmatannya sehingga November, kini memangku jawatan Ketua Hakim Negara.

