malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar mahu jumpa semua wakil PH sehari lepas forum integriti Rafizi
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan bersama ahli parlimen PH pada Isnin depan, iaitu sehari selepas bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli mengadakan forum bagi membincangkan isu berkaitan badan kehakiman.

Malaysiakini difahamkan bahawa ahli parlimen dan senator PH telah menerima jemputan untuk bertemu Anwar di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin (14 Julai) jam 4.30 petang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dipetik The Star sebagai mengumumkan bahawa ahli parlimen akan diberi taklimat mengenai pelantikan kehakiman baru-baru ini, dan akan berpeluang mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Loke memberitahu pemberita bahawa kabinet telah membincangkan perkara ini semalam pada 9 Julai dan dijelaskan bahawa terdapat proses yang sedang berlangsung berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara akan datang.

Dia turut memberi jaminan bahawa tidak menjadi isu sekiranya jawatan itu tidak segera diisi.

“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan apabila ada kekosongan (jawatan Ketua Hakim Negara), Hakim Besar Malaya boleh dijadikan pemangku Ketua Hakim Negara.

“Selain itu, pelantikan hanya boleh dibuat selepas Agong memberi perkenan setelah dinasihatkan oleh perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Loke turut mengumumkan Majlis Raja-Raja juga akan diberi taklimat untuk tujuan yang sama minggu depan.

Menariknya, pada hari yang sama Anwar bertemu pemimpin PH, Badan Peguam Malaysia akan berhimpun di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya pada pukul 2 petang sebelum meneruskan perjalanan sejauh 2.6km ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum dengan empat tuntutan.

Sehari sebelum itu, pada Ahad (13 Julai) jam 8.30 malam, Rafizi dijadual mengadakan forum bertajuk Integriti Kehakiman di Kelab PAUM, Kuala Lumpur bagi membincangkan dakwaan terkini mengenai pelantikan kehakiman.

Forum tersebut merupakan yang pertama dalam siri forum yang dianjurkan oleh Rafizi dan pasukannya.

Terdahulu hari ini, Rafizi menghantar surat kepada semua ahli parlimen, menggesa mereka menyokong tiga tuntutan:

- Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan tersebut;

- Sokongan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi hak asasi manusia, pilihan raya, dan reformaso institusi untuk menyiasat dakwaan tersebut, termasuk memanggil Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi keterangan; dan

- Mengisi kekosongan jawatan penting dalam badan kehakiman berdasarkan cadangan terdahulu oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Dalam surat itu, Rafizi turut menjemput semua ahli parlimen untuk menghadiri forum pada 13 Julai ini.

"Forum ini bertujuan memberi ruang kepada wacana terbuka dan konstruktif mengenai isu ini bersama tokoh-tokoh undang-undang dan akademik. Kehadiran Yang Berhormat amat dialau-alaukan sebagai tanda komitmen inistitusi Parlimen terhadap prinsip integriti dan keadilan," katanya.

‘Jumpa PMX dulu’

Ketika dihubungi, seorang ahli parlimen PH yang enggan namanya didedahkan berkata mereka masih belum membuat keputusan sama ada akan menyokong gesaan Rafizi atau sebaliknya.

“Memandangkan PMX (Anwar) akan bertemu ahli parlimen PH pada petang Isnin ini, kita perlu dengar dahulu apa yang beliau ingin sampaikan dan berbincang dengan rakan dalam parti,” kata sumber itu.

Untuk rekod, Tengku Maimun Tuan Mat telah bersara sebagai Ketua Hakim Negara pada 2 Julai lalu selepas tempoh perkhidmatannya tidak dilanjutkan selama enam bulan lagi.

Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim, kini memangku jawatan Ketua Hakim Negara secara interim sehingga November ini, susulan pelanjutan perkhidmatannya selepas bersara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen