Ketika desakan semakin memuncak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap badan kehakiman, Istana Negara akhirnya bersuara berhubung isu pelantikan hakim-hakim tertinggi.
Istana memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak mempolitikkan pelantikan hakim mahkamah atasan, sambil menegaskan bahawa ia adalah "urusan kenegaraan yang penting serta perlu ditangani secara cermat dan integriti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.”

Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Istana Negara menjelaskan pelantikan hakim dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Perkara ini secara jelasnya menzahirkan prinsip semak dan imbang dalam sistem kehakiman negara.
“Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] merupakan undang-undang yang memperuntukkan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak kepada perdana menteri.
“Hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah supaya perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” petik kenyataan itu.

Pada Isnin lau, sembilan ahli Parlimen PKR – diketuai oleh Rafizi Ramli – menggesa penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai pembaharuan institusi menyiasat dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.
Mereka menggesa RCI menyiasat dakwaan bahawa kerajaan mengabaikan syor daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sebelum persaraan bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, termasuk pencalonan bagi jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.
Mereka turut membangkitkan kebimbangan bahawa JAC telah dipanggil pada hari Jumaat lalu tanpa notis wajib 10 hari untuk mencadangkan calon baharu.
Rafizi menyamakan dakwaan ini dengan skandal VK Lingam, di mana satu rakaman telefon pada tahun 2002 mendedahkan usaha untuk mempengaruhi pelantikan kehakiman.
Jabatan Peguam Negara kemudiannya meremehkan kebimbangan yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen PKR dan menyifatkan perbandingan dengan skandal VK Lingam sebagai tidak wajar.

Isnin, 14 Julai ini, Majlis Peguam Malaysia akan menganjurkan satu acara "Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman" dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya untuk menyerahkan satu memorandum yang menuntut tindakan segera bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Refoemasi Institusi), Azalina Othman Said berkata Kabinet telah membincangkan kekosongan bagi jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan, dan menegaskan bahawa pelantikan akan dibuat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dia menambah bahawa kerajaan amat menyedari kebimbangan orang awam berhubung perkara berkenaan.

