malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Doktor Malaysia lari ke S'pura bukti sistem kesihatan perlu reformasi
Diterbitkan:  Jul 10, 2025 1:09 PM
Dikemaskini: 9:39 AM
ADS

Ahli Dewan Negara dari DAP, Dr A Lingeshwaran menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan reformasi terhadap kerjaya petugas kesihatan bagi meraih kepercayaan dan keyakinan golongan doktor di Malaysia.

Mengulas mengenai tindakan Kementerian Kesihatan Singapura yang bakal merekrut doktor-doktor dari Malaysia katanya, perkembangan itu sangat mengejutkan dan dipandang serius.

Dr A Lingeshwaran

Bekas pengarah Hospital Sungai Bakap itu mendakwa, Kementerian Kesihatan Singapura bakal mengadakan temuduga terbuka di Kuala Lumpur untuk merekrut doktor-doktor Malaysia secara langsung, dengan tawaran pakej tahunan sebanyak RM385,000 berserta penginapan dan pelbagai faedah tambahan.

“Tawaran ini secara realistiknya akan mempercepatkan penghijrahan doktor kita ke luar negara.

“Lebih mengejutkan, syarat kelayakan telah dilonggarkan. Kini, semua graduan perubatan Malaysia boleh memohon tanpa perlu melalui sebarang peperiksaan kelayakan seperti sebelum ini.

“Kos sara hidup di Singapura, terutamanya sewa rumah, turut ditanggung. Maka, tawaran ini amat menarik – khususnya kepada doktor-doktor muda kita yang masih mencari hala tuju dalam sistem domestik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu dilaporkan tersebarnya iklan temuduga kerjaya doktor dan jururawat yang bakal berlangsung pada Ogos nanti.

Menurut perkongsian pengguna laman Threads, negara jiran itu menawarkan gaji yang lumayan kepada sesiapa yang terpilih.

Lingeshwaran bagaimanapun mengakii perkara itu bukan satu isu baru dan telah berakar sejak bertahun-tahun.

Namun, dia percaya di bawah kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kini adalah masa yang paling sesuai untuk kita melakukan reformasi menyeluruh terhadap ekosistem kerjaya doktor di Malaysia.

Jelasnya, ramai petugas kesihatan – dari doktor muda hinggalah ke pakar – percaya bahawa pentadbiran hari ini lebih prihatin, lebih terbuka mendengar suara mereka.

“Tetapi keprihatinan itu mesti diterjemah segera kepada pelaksanaan, bukan sekadar janji.

“Apa jadi dengan elaun on-call dan kenaikan elaun pakar yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025? Sudah masuk bulan Julai, tetapi masih belum dilaksanakan.

“Ini menjejaskan keyakinan doktor terhadap sistem. Sedangkan negara jiran bertindak pantas dengan tawaran menarik, kita pula masih terikat dengan birokrasi dan ketidaktentuan pelaksanaan,” katanya lagi.

Tambahnya, hampir 40 peratus graduan dari Royal College of Surgeons in Ireland dan University College Dublin (Malaysia) Kampus Pulau Pinang memilih untuk menjalani latihan siswazah mereka di Ireland dan United Kingdom, bukannya di hospital awam Malaysia.

Keadaan itu tegasnya, satu petanda jelas bahawa doktor-doktor muda di Malaysia sedang hilang keyakinan terhadap sistem sedia ada.

“Statistik menunjukkan lebih 6,400 pegawai perubatan meletakkan jawatan dari tahun 2019 hingga 2023. Ini bukan lagi kebocoran kecil – ini gelombang yang mengancam daya tahan sistem kesihatan awam negara.

“Saya ulang, Ini bukan isu gaji semata-mata. Ini isu kepercayaan terhadap sistem. Doktor-doktor muda mahukan kepastian, sokongan, dan masa depan yang stabil. Tanpa pembaharuan struktur yang menyeluruh dan segera, kita bakal kehilangan lebih ramai tenaga profesional yang berkualiti tinggi.

“Kini adalah masanya untuk bertindak. Kita harus menghargai doktor kita bukan sahaja dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan. Reformasi perlu dilaksanakan – bukan ditangguh,” kata Lingeshwaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen