malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah isytihar video nasihat tukar agama cara rahsia tak sah
Diterbitkan:  Jul 10, 2025 12:52 PM
Dikemaskini: 4:52 AM
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa sebuah video oleh pendakwah Islam Firdaus Wong – yang mempromosikan penukaran agama secara rahsia ke atas kanak-kanak bawah umur – adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan.

Sehubungan itu, Hakim Amarjeet Singh mengarahkan Firdaus untuk memadamkan video tersebut dari media sosial dan melarangnya daripada menerbitkan sebarang kandungan serupa pada masa hadapan.

Menurut Free Malaysia Today (FMT), mahkamah juga mengarahkan Firdaus membayar kos sebanyak RM10,000 kepada lapan ibu bapa bukan Islam yang memfailkan kes berkenaan.

Pada Jun tahun lalu, Firdaus mencetuskan kemarahan apabila memuat naik video TikTok berhubung cara mengendalikan permintaan kanak-kanak bawah umur yang mahu memeluk Islam secara rahsia.

Video itu tular dengan pantas dan mencetuskan gelombang laporan polis terhadap pendakwah tersebut.

Berikutan itu, pihak berkuasa melancarkan siasatan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.

Skandal ini mendorong sekumpulan ibu bapa mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman pada 18 Julai bagi mendapatkan pengisytiharan rasmi dan injunksi.

Peguam mewakili ibu bapa, M Visvanathan, berhujah bahawa video Firdaus melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan hak eksklusif kepada ibu bapa atau penjaga sah untuk menentukan agama anak bawah umur. Dengan menggalakkan penukaran agama secara rahsia, Firdaus telah melampaui sempadan perlembagaan tersebut, katanya.

Visvanathan turut berhujah bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa di bawah Seksyen 25 dan Jadual Kedua Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk menguatkuasakan hak asasi sebagaimana diperuntukkan dalam Bahagian II Perlembagaan.

Sanjay Nathan dan Pushan Qin Nathan turut mewakili kumpulan ibu bapa tersebut dalam kes ini.

Sementara itu, peguam Firdaus, Norazali Nordin, memberitahu mahkamah bahawa dia akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya sama ada ingin memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Video berkenaan dipercayai memaparkan Firdaus menjawab soalan dalam satu sesi awam.

Pada awalnya, salah faham tersebar bahawa individu yang bertanya dalam video itu adalah seorang guru, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa bukan Islam terhadap kemungkinan pengaruh terhadap anak-anak mereka di sekolah kebangsaan. Ini membawa kepada desakan supaya pendakwah itu dilarang memasuki institusi pendidikan.

Namun kemudian, telah dijelaskan bahawa individu tersebut bukan seorang guru, tetapi seorang penulis dan pempengaruh TikTok.

Dalam sesi tersebut, Firdaus dilaporkan ditanya bagaimana untuk bertindak apabila remaja bukan Islam bawah umur menyatakan hasrat untuk memeluk Islam.

Dia didakwa menggalakkan penukaran agama tersebut, sambil menasihatkan agar ia tidak didaftarkan dan dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Firdaus juga dilaporkan memberi panduan kepada remaja itu mengenai bagaimana untuk mengamalkan Islam secara rahsia, termasuk menyembunyikan identiti agama baharu mereka daripada keluarga dan masyarakat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen